Konsert ‘Faztival Fazura’ 2022 Cipta Rekod Dalam Malaysia Books Of Records, Fazura Luah Rasa Syukur

Pelakon dan usahawan terkenal Nur Fazura yang juga isteri kepada Fattah Amin ini telah menganjurkan sebuah konsert yang diberi nama ‘Faztival Fazura 2022’ pada Ahad lalu. Siapa sangka, konsert tersebut mendapat sambutan yang luar biasa oleh peminat-peminatnya. Malah penonton yang menempah tiket pada malam itu telah menerima Tudung Fazura ‘glow in the dark’ secara percuma.

Terdahulu, konsert yang berlangsung di Axiata Arena Ahad ini menampilkan persembahan penyanyi tanah air Datuk M Nasir, Datuk Awe, Ratu Rock Ella, Ruffedge, Zizi Kirana, Ippo Hafiz dan Amir Masdi. Artis jemputan khas dari Indonesia Mulan Jameela dan Ahmad Band turut memeriahkan persembahan pada malam itu. Malah Fattah Amin juga membuat penampilan istimewa ketika lagu Mentera Semerah Padi.

Bukan itu sahaja, rata-rata 8000 penonton yang menghadiri Konsert Faztival Fazura ini telah menjadi saksi apabila mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records dengan penciptaan dua rekod baharu peringkat kebangsaan iaitu The Largest ‘Tudung Fazura’ Gathering in an Event dan The Largest Tudung Bawal in Malaysia.

Susulan daripada itu, Nur Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura binti Sharifuddin meluahkan rasa syukur dan berbangga di atas pencapaian yang diterimanya serta yang diberikan terhadap konsert sulungnya. Dia turut berharap agar konsert ini bakal dijadikan sebagai acara tahunan.

“Alhamdullillah Faz bersyukur kerana konsert ini mendapat sambutan luar biasa dan tidak menyangka dapat mencipta dua rekod baharu Malaysia Book of Records” katanya.

Dalam pada yang sama, Fazura turut melancarkan produk terbaharu syarikatnya Beauty Water iaitu minuman tanpa gula yang diperkaya dengan’ lycopene’ untuk mencantikkan kulit secara semulajadi. Selain itu, anjuran konsert ini juga untuk membantu merancakkan industri hiburan tanah air dan kegiatan ekonomi industri hiliran yang lain seperti pelancongan tempatan yang telah banyak menerima kesan akibat pandemic COVID-19.

Pelakon ini turut mencuri tumpuan apabila muncul di atas pentas dengan menyanyikan lagu-lagu popularnya dan diakhiri gubahan semula lagu Jika Cinta Allah yang diiringi petikan gitar akustik oleh Ahmad Dhani.