“Kita khuatir, jemaah kita ramai” Masjid Sultan Singapura Ditutup Sementara Untuk Pelancong Asing

Masjid Sultan, yang menjadi salah satu tarikan pelancong di Singapura ditutup sementara waktu kepada pelancong asing susulan penularan virus Wuhan. Berita Mediacorp melaporkan langkah tersebut berkuat kuasa sejak Sabtu iaitu dua hari selepas kes pertama novel koronavirus disahkan di republik itu. Keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan oleh Lembaga Pengamanah Masjid Sultan dan Lembaga Pentadbir masjid [...]

Jika anda pernah ke Singapura, pasti anda tahu Masjid Sultan menjadi salah satu tarikan utama pelancong di negara republik itu.

Terbaru, masjid tersebut telah ditutup sementara waktu kepada pelancong asing susulan penularan virus Wuhan.

Menerusi laporan Berita Mediacorp, langkah tersebut berkuat kuasa sejak Sabtu iaitu dua hari selepas kes pertama novel koronavirus disahkan di negara tersebut.

Lembaga Pengamanah Masjid Sultan dan Lembaga Pentadbir masjid berkenaan telah membuat keputusan itu selepas mengadakan perbincangan bagi menjaga keselamatan jemaah masjid.

Walaubagaimanapun, masjid berkenaan masih dibuka kepada pelawat beragama Islam untuk menunaikan solat.

Makluman penutupan sementara itu telah diletakkan di kesemua 10 pintu masuk di keliling masjid, yang berbunyi: “Ditutup kepada lawatan pelancong sehingga diberitahu kemudian. Jemaah Muslim dialu-alukan untuk masuk menunaikan solat. Kami meminta maaf atas kesulitan ini.”

Menurut Pengurus Masjid Sultan, pihak lembaga pentadbir masjid melaksanakan langkah pencegahan demi memastikan maslahat para jemaah dan kakitangannya selain mengelak penyakit daripada merebak.

“Kita khuatir. Jemaah kita ramai. Satu kali kalau solat, saya rasa lebih 1,000 orang. Solat Jumaat jangan cakaplah. Macam (solat Jumaat) minggu lalu, penuh masjid,” ujarnya.

Untuk rekod, Masjid Sultan kebiasaannya menerima kunjungan 600 hingga 700 pelancong setiap hari.

Manakala pada hujung minggu pula, jumlahnya melonjak kepada 1,000 pelancong sehari.