Pada pilhan raya umum ke 14 yang lepas, PKR yang diwakili Shuhaimi mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) bagi penggal ketiga berturut-turut dengan majoriti 12,480 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Walaubagaimanapun pilihan raya kecil terpaksa diadakan berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma. PRK DUN Sungai Kandis merupakan PRK pertama diadakan selepas pilihan raya umum ke-14.

Suruhanjaya Pilihan Raya menyasarkan 80% pemilih keluar mengundi pada PRK DUN Sungai Kandis yang melibatkan kos peruntukan kira-kira RM1.4 juta.

Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, 48, mengundi pada 9 pagi di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun di sini.

Sementara calon BN iaitu Datuk Lokman Noor Adam, 45, dan calon Bebas, K. Murthy, 60, bukan merupakan pengundi berdaftar di kawasan DUN itu.

DUN Sungai Kandis mempunyai 51,230 pengundi berdaftar dengan pengundi biasa seramai 51,217 dan 13 pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Daripada 51,230 pemilih berdaftar itu, 24,998 adalah pengundi lelaki (48.8%) dan 26,232 merupakan pengundi wanita (51.2%).

Dari segi komposisi kaum pula, 71.34% pengundi berdaftar di DUN itu terdiri daripada kaum Melayu, 15.69% kaum India dan 11.75% kaum Cina.

Kesemua peti undi kemudian akan dibawa ke pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 19, Shah Alam dengan keputusan PRK Sungai Kandis ini dijangka diketahui seawal 10 malam ini.

Keputusan PRK SG Kandis akan dikemaskini.

Update: Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menang pilihan raya kecil Sungai Kandis dengan 15,427 undi dengan majoriti 5,842 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam, yang mendapat 9,585 undi dan calon Bebas, K Murthy (97 undi)