Kemalangan Ketika Kejar Suspek Kes Pecah Kedai, Anggota Polis Maut

Seorang anggota polis maut selepas terlibat dalam kemalangan semasa mengejar seorang suspek kes pecah kedai berhampiran lampu isyarat di Padang Temusu, Sungai Petani hari ini.

Menerusi laporan Kosmo Online, dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Koperal Mahadir Elis, 38, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Kejadian berlaku apabila mangsa yang berlari mengejar suspek dirempuh sebuah motosikal dari arah hadapan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, sebelum kejadian mangsa bersama beberapa anggota dari Balai Polis Sungai Petani menahan tiga suspek kes pecah kedai di Kampung Kepala Bukit dan Sungai Pasir di sini kira-kira pukul 3.45 pagi ini.

“Mangsa bersama pasukan seterusnya ke Padang Temusu pada pukul 7.30 pagi tadi untuk membuat tangkapan terhadap seorang lagi suspek yang masih bebas.

“Sebaik tiba di lokasi, suspek bertindak melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran polis dan dikejar anggota terbabit sebelum dia dilanggar motosikal dari arah hadapan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.