Ingkar SOP, Neelofa & Keluarga Dikompaun RM60,000

Selebriti dan usahawan Neelofa bersama suami dan 20 ahli keluarga lain dikenakan kompaun sebanyak RM60,000 kerana melangggar prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di majlis perkahwinan serta merentas negeri.

Berdasarkan perincian kompaun seperti yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur, ACP Mohamad Zainal Abdullah, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor perlu membayar kompaun RM20,000 bagi dua kesalahan.

Kertas siasatan majlis perkahwinan Neelofa diserahkan kepada TPR

Kesalahan pertama ialah larangan pematuhan SOP di majlis pernikahan beliau dengan PU Riz atau nama sebenarnya, Haris Ismail di sebuah hotel terkemuka di ibu negara dengan kompaun sebanyak RM10,000 tanpa diskaun dibenarkan.

Manakala kompaun RM10,000 lagi dikenakan kerana melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri.

Sementara suaminya, PU Riz dikenakan kompaun RM10,000 kerana melanggar kebenaran merentas negeri.

Menurut Mohamad Zainal, kesemua ahli keluarga Neelofa seramai 20 orang pula dikenakan kompaun sebanyak RM1,500.00 seorang yang berjumlah RM30,000.00 kerana gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung.

Pernikahan Neelofa dan PU Riz berlangsung pada 27 Mac lalu di sebuah hotel dalam sebuah acara yang elegan dan eksklusif.

Pasangan itu telah sah menjadi pasangan suami isteri tepat jam 11:45 pagi dengan hanya sekali lafaz.

Majlis tersebut telah berlangsung dengan jayanya namun, ada pula sesuatu yang tidak kena. Majlis berkenaan dikatakan telah melanggar SOP perkahwinan seperti mana disarankan pihak kerajaan sebelum ini.

Rentetan daripada dakwaan tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) oleh netizen, majlis perkahwinan selebriti terkenal Noor Neelofa Mohd Noor dan Pencetus Ummah (PU) Riz disiasat pihak polis.

Menurut Mohamad Zainal, siasatan awal mendapati majlis yang diadakan itu gagal mematuhi SOP yang ditetapkan selain tiada penjarakan fizikal.

“Susulan itu kita akan memanggil penganjur bagi membantu siasatan,” katanya.

Neelofa selamat diijabkabulkan dengan Riz atau nama sebenar, Haris Ismail di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Ia seterusnya menjadi bualan ramai di media sosial apabila ada yang mempersoalkan tindakan pihak berkuasa mengenakan kompaun kepada beberapa pasangan sebelum ini kerana gagal patuh SOP.

Dalam majlis bertemakan serba putih, bekas pengacara MeleTOP itu dinikahkan oleh adik kandungnya, Mohamed Aqief Mohd Noor berwakil walikan bapanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dijemput membacakan khutbah nikah dan tazkirah ringkas.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa selebriti tanah air seperti Scha Alyahya, Awal Ashaari, Izara Aishah, Kilafairy serta Hannah Delisha dan suami, Imam Shah.

Selang beberapa hari selepas itu, pasangan berkenan dilaporkan berkunjung ke pulau peranginan Langkawi yang dimaklumkan mereka atas urusan perniagaan.

Bagaimanapun tular di media sosial foto-foto pasangan berkenaan sedang bersiar-siar di kawasan pelancongan di pulau legenda itu.