Kekecohan Perlawanan Bola Sepak Perak FC & Kelantan FC, Ini Ulas Bekas Pengerusi FAM

Sukan bola sepak merupakan suatu perlawanan yang sangat dinanti-nantikan oleh setiap golongan masyarakat dan mampu meningkatkan semangat berdaya saing dalam diri masing-masing.

Namun begitu, ‘semangat’ yang diluahkan ini perlulah dikawal agar tidak melampaui batas sehingga mengakibatkan kesan buruk terhadap orang lain.

Memetik laporan Harian Metro, berlakunya satu insiden kekecohan antara penyokong di luar Stadium Sultan Muhammad ke IV selepas tamat perlawanan Kelantan FC menentang Perak FC.

Secara asasnya, insiden kekecohan ini adalah tanggungjawab pasukan tuan rumah biarpun ia mungkin berpunca daripada pihak luar.

Difahamkan, peraturan itu sememangnya sudah jelas ditulis dalam manual mana-mana pertandingan sukan termasuk bola sepak di mana isu keselamatan penyokong dan pasukan di bawah tanggungjawab tuan rumah.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah mennjelaskan perkara tersebut dengan menyatakan bahawa Kelantan FC kemungkinan bakal berdepan hukuman berat seandainya didapati gagal menyediakan kawalan keselamatan optimum kepada penyokong dan pasukan.

Menurut beliau, insiden kekecohan penyokong Kelantan FC dan Perak FC pada Rabu lalu boleh mengakibatkan skuad The Red Warriors itu dikenakan hukuman beraksi tanpa penyokong.

“Bila main di sesuatu venue, ia tanggungjawab tuan rumah untuk sediakan kawalan keselamatan terbaik.

“Tak kira sama ia dicetuskan pihak luar atau penyokong lawan, tetapi peraturan diguna pakai atau asasnya tuan rumah yang perlu bertanggungjawab.

“Kalau ikut hukuman yang boleh diberikan, mungkin Kelantan akan bermain tanpa penyokong buat tempoh tertentu,” ulas Kamarudin berkaitan insiden tersebut.

Jika pihak lawan yang memulakan dahulu kekecohan tersebut, Kamarudin menjawab FAM boleh mempertimbangkan untuk meringankan hukuman kepada pihak yang berkenaan.

“Macam saya kata tadi, asasnya tetap ditanggung pihak tuan rumah. Tapi kalau boleh dibuktikan ia tercetus oleh penyokong lawan, mungkin FAM boleh guna budi bicara untuk beri amaran agar ia tidak berulang dan ketatkan kawalan selepas ini,” jelasnya.

Berdasarkan laporan akhbar Harian Metro mengenal hal ini semalam, FAM mengakui bahawa mereka tidak akan berdiam diri dan perkara berkenaan akan dibawa kepada Jawatankuasa Disiplin badan induk itu bagi meneliti pelbagai aspek termasuk soal keselamatan dan penguatkuasaan di lokasi terbabit.

Sewaktu kejadian, terdapat beberapa individu membuat balingan mercun dan batu sehingga mencemari perlawanan antara Perak FC dan Kelantan FC itu (menang 2-1).

Ekoran kejadian tersebut, penyokong Perak FC terpaksa memasuki ke tengah padang bagi menyelamatkan diri daripada tindakan ganas penyokong tuan rumah yang difahamkan berang dengan tindakan provokasi dicetuskan penyokong pelawat.

Bukan itu sahaja, bas penyokong dan pasukan Perak juga dibaling batu hingga mengakibatkan tingkap bas retak dan pecah.