[VIDEO] “Keadaan Siti Sarah kini sangat tidak baik, oksigen tinggal 40” – Shuib

Selebriti popular, Siti Sarah Raisuddin dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dengan kadar oksigen pada kedudukan 40 peratus.

Suaminya Shuib memberitahu, doktor menghubunginya petang tadi memaklumkan keadaan terkini isterinya.

Dalam keadaan sebak, Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad berkata, Siti Sarah sudah ditiarapkan oleh doktor.

“Keadaan Siti Sarah tidak baik, sangat-sangat tidak baik. Kata doktor kadar oksigen hanya 40 dan doktor akan tiarapkan dia,” ujar selebriti dan usahawan itu dalam sesi bacaan Yassin dan doa selamat menerusi aplikasi Zoom sebentar tadi.

Pada kebiasaannya, prosedur meniarapkan pesakit dilakukan bagi membolehkan paru-paru seseorang itu kembali normal dan dapat membekalkan oksigen ke dalam tubuh.

Shuib juga tidak dapat meneruskan kata-kata bagi memaklumkan perkembangan isterinya dan meminta bacaan Yassin dan doa selamat diteruskan.

Hampir 1,000 kenalan pasangan itu menyertai majlis bacaan Yassin dan doa selamat buat Siti Sarah termasuk pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan rakan-rakan selebriti seperti Anuar Zain, Bob Yusof dan Liza Hanim.

Siti Sarah, 36, yang yang popular dengan lagu Kesetiaan itu kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia selepas dikejarkan ke hospital itu pada Rabu lalu selepas disahkan positif.

Shuib memohon pada semua pihak untuk terus mendoakan isterinya agar kembali pulih seperti sedia kala.

Video Shuib memaklumkan keadaaan terkini Sarah

@yoynetwork“Condition Sarah sekarang ni sangat2 tidak baik. Oksigen tinggal 40%” – Shuib♬ original sound – YOY.MY

Selain Siti Sarah, Shuib bersama tiga anak mereka Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.

Shuib dan anak-anaknya bagaimanapun, disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.

Berikutan Siti Sarah sedang hamil tujuh bulan, doktor telah mengeluarkan bayi dalam kandungannya sekitar pukul 5 petang Jumaat.

Anak keempat pasangan artis itu diberi nama Ayash Affan kini berada dalam keadaan stabil.

Pada Sabtu, Shuib berkata, doktor yang merawat isterinya memaklumkan, Siti Sarah mula menunjukkan perkembangan positif dengan kadar oksigen sudah meningkat pada paras 80 peratus.

Terdahulu, Shuib ada memaklumkan menerusi laman Instagram miliknya di mana satu voice note yang tular bukan yang terkini.

Rakaman suara itu dipercayai milik ibu Shuib, Salamiah Jalani tular dalam laman sosial, hari ini.

“Berkenaan rakaman suara yang tular mengenai Siti Sarah, itu merujuk keadaannya pada Jumaat lalu.

“Jadi, saya mohon tolong hentikan kongsi atau padam rakaman suara dalam mana-mana platform media sosial,” tulisnya dalam Instagram (IG), petang ini.

Bekas penyampai radio itu memaklumkan, keadaan terkini isterinya masih ditidurkan.

“Saya mohon terus mendoakan Sarah diberi kekuatan dan kesembuhan kembali.

“Saya juga mendoakan kepada semua dilindungi, diberkati dan dirahmati Allah SWT,” tulisnya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Shuib Sepahtu (@shuibsepahtu)

Pada masa sama, Shuib memohon agar semua pihak untuk terus mendoakan isterinya supaya kembali pulih.