“Kari kambing permintaaan terakhir,” Budak Lelaki Maut Tertikam Semasa Sibuk Buat Persediaan Deepavali

Kemeriahan satu keluarga membuat persiapan sempena menyambut perayaan Deepavali bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak J Adithiyan, 7, maut selepas secara tidak sengaja tertusuk pisau yang dipegang sepupunya berusia 11 tahun, lapor Berita Harian.

Menurut D Mathialagan, 43, bapa saudara budak lelaki yang maut, ketika kejadian mereka sekeluarga yang tinggal bersebelahan rumah, sedang sibuk membuat persiapan Deepavali.

“Dia ada datang kepada isteri dan meminta untuk makan kari kambing yang sudah siap dimasak ketika itu,

“Dia (Adithiyan) memang begitu teruja dan tidak sabar hendak bermain bunga api tetapi saya beritahu supaya menunggu hingga jam 12 malam.

“Malam itu juga dia beritahu teringin nak makan kari kambing yang sudah siap dimasak, tetapi isteri memintanya menunggu hingga esok, tetapi dua-duanya dia tidak sempat..,” katanya ketika ditemui di Jabatan Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini.

Adithiyan anak bongsu daripada tiga beradik itu memang rapat dengan mereka sekeluarga dan sangat manja dan aktif.

“Dia memang sangat rapat dengan kami. Dia juga memanggil saya sebagai appa dan isteri saya amma, saya sempat mewarnakan rambutnya sempena merayakan Deepavali ini,” katanya.

Menceritakan semula kejadian jam 10.20 malam itu, katanya, seorang daripada anak saudaranya yang berusia 11 tahun dipanggil oleh ibunya yang meminta membawakan pisau untuk memotong tali ketika membuat kolum.

“Ketika kejadian anak saudara sedang menuju ke luar pintu selepas mengambil pisau yang diminta ibunya.

“Adithiyan ketika itu kebetulan pula sedang berlari-lari masuk ke dalam rumah dan secara tidak sengaja terlanggar kakak sepupunya,” katanya.

Menurutnya, ahli keluarga yang menyaksikan kejadian pada awalnya tidak perasan pisau tertusuk pada dada Adithiyan dan semuanya dalam keadaan panik apabila melihat banyak darah yang mengalir.

Selepas itu mereka berkejar ke Hospital Seri Manjung sebelum anak saudaranya itu disahkan sudah meninggal dunia.

Terdahulu mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HRPB di sini untuk proses bedah siasat hari ini.