Kantoi Makan Tebu di Kebun Orang, Anak Gajah Menyorok Belakang Tiang Elektrik

Foto seekor anak gajah yang comel cuba menyorok di sebalik tiang elektrik selepas didapati mencuri tebu di kebun penduduk menjadi tular di laman Facebook.

Menerusi laporan portal Nation Thailand, imej tersebut dimuat naik di laman Facebook pada malam Ahad lepas apabila anak gajah itu dikatakan ‘kantoi’ sedang makan tanaman tebu milik penduduk di sebuah kampung di Chiangmai.

Sedar dirinya dihampiri sekumpulan manusia, anak gajah itu mula bergegas mencari tempat untuk bersembunyi dan mengambil keputusan untuk bersembunyi di belakang tiang elektrik berhampiran.

Mungkin anak gajah itu menyangka, tindakannya bersembunyi di sebalik tiang itu akan membuatkan manusia tidak melihatnya di situ sekiranya dia tidak bergerak.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen di media sosial sangat terhibur dengan kelakuan anak gajah berkenaan yang sangat comel.

Malah, foto tersebut terus disebarkan dan dikongsikan menerusi platform media sosial yang lain seperti Twitter dan Instagram.