“Kami sedang menuju ke arah kebaikan, tak pernah wujud kebencian.” Puteri Sarah Liyana Luah Isu Rumah Tangga

Pelakon dan model Puteri Sarah Liyana, 35, memilih tinggal berasingan dengan suami, Syamsul Yusof, 36, buat seketika.

Memetik laporan Berita Harian, Puteri Sarah berkata beliau yakin itulah cara terbaik untuk menyelesaikan segala pergolakan yang berlaku dalam perkahwinannya.

Saya dan Syamsul masih cuba mencari jalan penyelesaian

“Krisis rumah tangga kami sudah berlanjutan sejak sekian lama. Sehingga kini, saya dan Syamsul masih cuba mencari jalan penyelesaian”.

“Kami perlukan masa dan mungkin dengan cara berjauhan dapat mengembalikan semula rasa cinta dan rindu”.

Walau berjauhan, kami masih berhubung 

“Sungguhpun berjauhan, kami masih berhubung dan menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp. Syamsul juga bebas bertemu anak-anak, Syaikhul Islam, 3 dan Sumayyah, 1”.

“Tidak dinafikan, ramai menasihatkan saya supaya jangan terlalu lama berjauhan dengan suami”.

Kami sukar mencari kata sepakat

“Hakikatnya, kami sukar mencari kata sepakat dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku ketika tinggal sebumbung”.

“Setiap perbincangan pastinya berakhir dengan pergaduhan. Mungkin dengan cara ini, saya harap keadaan kembali pulih seperti sedia kala”.

Saya, Syamsul dan keluarga harapkan perkara baik sebagai penamat konflik

“Sejujurnya, saya dan Syamsul serta keluarga mengharapkan perkara baik sebagai penamat konflik ini. Tak terfikir berakhir dengan perceraian”.

“Insya-Allah dengan cara ini, kami boleh kenang kembali momen manis ketika bersama dan merasai pengalaman jika suami atau isteri tiada di sisi,” katanya ketika ditemubual.

Walaupun mendapat tentangan dan dikritik, namun jalan penyelesaian yang dipilih Sarah kini semakin menampakkan hasil yang positif seperti diharapkan.

Kami sedikit bermain tarik tali

“Kami sedang menuju ke arah kebaikan, tak pernah wujud kebencian. Jika larut dengan kebencian, sudah lama perkahwinan kami berakhir. Cuma, sekarang, kami sedikit bermain tarik tali”.

“Tindakan kami bukan disebabkan keegoan, tetapi memberikan ruang untuk muhasabah diri”.

Saya mengharapkan ia segera berakhir

“Saya tak pernah berdendam dengan suami, tetapi mahu memberikan sedikit pengajaran”.

“Biarpun tiada sebarang kepastian bila krisis rumah tangga tamat, tetapi saya mengharapkan ia segera berakhir”.

Penghujungnya saya dan Syamsul akan tentukan jalan terbaik

“Saya berterima kasih atas nasihat dan sangat terbuka dengan apa sahaja pandangan yang diberikan, tetapi penghujungnya, saya dan Syamsul yang akan menentukan jalan terbaik,” katanya.

Biarpun ramai yang melempar tanggapan keretakan rumah tangga Sarah dan Syamsul berpunca dengan kehadiran orang ketiga.

Desas-desus bergoncang lebih kuat dengan tindakan Sarah memuat naik perkongsian mengenai kecurangan, namun sehingga hari ini, tiada kepastian yang terbit daripada mulut mereka.

Soal itu terlalu peribadi untuk diceritakan

Apabila diajukan persoalan kecurangan, pelakon drama rantaian, Evolusi KL Drift The Series itu enggan mengulas lanjut. Malah, ia terlalu peribadi untuk dikongsi.

“Soal ini terlalu peribadi untuk diceritakan. Cuma, apa yang boleh katakan, setiap perkahwinan tidak terlepas daripada belenggu masalah”.

Cuma bezanya, bagaimana cara berdepan dengan permasalahan. Adakah iman cukup kuat untuk menempuhi? Saya tahu lelaki banyak godaan, tetapi saya boleh menerima dan memaafkan jika perkara ini berlaku.

Bohonglah sebagai isteri tiada rasa cemburu dan sangsi dengan suami

“Bohonglah sebagai isteri tiada rasa cemburu dan sangsi dengan suami, lebih lagi, jika tidak diberi perhatian atau ada anasir luar yang cuba menggugat keharmonian rumah tangga”.

“Pun begitu, pengalaman berjauhan ini banyak menyedarkan, sekali gus melenyapkan perasaan ragu,” katanya.

Pasti ada kifarah yang menanti

Ketika diusik apakah ada pesanan yang ingin di titipkan kepada manusia yang cuba memporak-perandakan rumah tangganya, pemegang Ijazah Pengurusan Hotel, Universiti Teknolgi MARA (UiTM) ini hanya tergelak seakan sudah dapat mengagak tujuan soalan diajukan.

“Saya jawab secara umum sahaja (ketawa). Tak eloklah buat begitu. Bagaimana jika perkara yang sama berlaku pada diri anda? Kena ingat itu, pasti ada kifarah yang menanti,” luahnya.

Kena ada masa supaya tidak terasa seperti diabaikan

Apa yang dilaluinya, pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie itu turut menekankan, komunikasi dan tidak mengambil ringan perasaan pasangan adalah kunci kebahagiaan sebuah mahligai rumah tangga.

“Kena ada komunikasi, kepercayaan, saling setia dan memperuntukkan masa supaya tidak terasa seperti diabaikan”.

Jika pasangan berada kosong kena perbaiki bersama

“Jika salah seorang daripada pasangan rasa kosong atau sunyi, kena memperbaikinya bersama”.

Apabila timbul masalah boleh dapatkan khidmat kaunseling atau selesaikan, bukannya meletakkan bebanan kepada salah seorang sahaja.

Kebanyakan nasihat yang diterima, semuanya salah isteri

“Kebanyakan nasihat yang diterima, semuanya menyalahkan isteri”.

“Lelaki juga kena mengetepikan keegoan dan menyelesaikan masalah yang timbul bersama isteri, barulah ia berhasil”.

Jika kamu berdua, masing-masing cuba menegakkan benang yang basah

“Dalam situasi saya, memang saya ada mengajak Syamsul pergi ke pejabat agama untuk mendapatkan khidmat. Mujur, Syamsul bersetuju”.

“Jika hanya kami berdua, perbincangan takkan selesai kerana masing-masing akan cuba menegakkan benang yang basah”.

“Tetapi, apabila ada orang luar yang bersikap tidak berat sebelah, kami boleh tahu apa kesilapan dan dapat memperbaikinya bersama,” katanya yang baru sahaja selesai penggambaran drama berjudul Melastik Ke Hatimu.

Saya mengharap kehadiran 2021 dikurniakan cahaya mata ketiga

Pelakon ini baru sahaja meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-35 pada 1 Disember lalu, anak sulung daripada empat beradik itu turut mengharapkan, pertambahan usia dan kehadiran 2021 yang bakal menguak jendela memberikan sinar baharu dalam hidupnya.

“Sempena ulang tahun kelahiran dan penutup 2020, saya mengharapkan kehadiran 2021 akan lebih baik dan dikurniakan cahaya mata ketiga”.

Kami merancang mahu memiliki tiga atau empat anak

“Saya dan Syamsul memang merancang mahu memiliki tiga atau empat anak”.

“Saya juga berharap dapat memperbetulkan kesilapan, saling memaafkan, melupakan apa yang berlaku dan meneruskan hidup tanpa perlu menoleh ke belakang lagi,” katanya yang kembali aktif berlakon selepas mendapat restu suami, sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, ada beberapa syarat yang diletakkan Syamsul supaya tidak menimbulkan fitnah.

Pasangan Puteri Sarah Liyana dan Syamsul Yusof telah dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam dan Sumayyah.