Kakak Murung Jadi ‘Hamba’ Kepada 3 Adik Lelaki Malas, Tidur Sepanjang Hari

Kebiasaannya golongan lelaki yang akan keluar mencari nafkah bagi menyara keluarga dan golongan wanita akan berperanan mengurus rumah.

Namun masih ada segelintir wanita perlu memikul tanggungjawab mencari nafkah bagi menyara keluarga.

Kisah seorang wanita tersebut berkongsi luahan hatinya menerusi mesej yang dihantar Cikgu Mohd Fadli Salleh untuk meminta pandangan gara-gara tidak tahan dengan apa yang dilaluinya kini.

Wanita ini sara 3 adik lelaki yang malas bekerja

Menerusi perkongsian yang dikongsi semula oleh Cikgu Mohd Fadli, wanita tersebut berkata dia merasa tertekan kerana tiga adik lelakinya langsung tidak mempunyai rasa tanggungjawab.

Adik-adik lelakinya tidak bekerja dan hanya bergantung harap kepada dirinya untuk menyara keluarga.

“Saya wanita awal 30-an, belum bernikah dan masih menetap dengan abah setelah arwah mak tiada. Tinggal bersama-sama kami ialah tiga orang adik lelaki yang masih bujang”.

Saya perlu masak, mengemas dan sediakan keperluan abah

“Adik-adik tidak mempunyai kerja tetap, tapi apa yang melelahkan saya ialah saya yang perlu menanggung makan minum ahli keluarga dan belanja rumah”.

“Abah masih lagi membayar bil-bil dan menampung apa adanya, tapi sayalah yang memasak, mengemas, sediakan keperluan abah, berbelanja”.

Adik-adik bawa abah ke hospital pun berkira

“Saya sahaja yang ada kerja tetap. Selama ini saya ikhlaskan saja tapi lama kelamaan waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pendapatan pun terjejas.

“Ia cukup membuatkan saya kemurungan mengenang sikap adik-adik,” tulis wanita tersebut.

“Bukan sahaja tiada rasa tanggungjawab untuk mencari kerja, malah apa yang membuatkan wanita ini kecewa apabila adik-adik lelakinya terlalu berkira apabila diminta membantu bapa mereka ketika tiba waktu temu janji di hospital”.

Saya tak kahwin sebab tak sanggup biarkan abah dengan mereka

“Apa-apa pun semua harap saya. Sampaikan hingga sekarang saya tak sanggup nak nikah kalau saya biarkan abah tinggal dengan adik-adik”.

“Mereka pemalas, tidur sepanjang hari, suka dalam keadaan bersepah dan busuk”.

“Keadaan ini sangatlah stres bagi seorang perempuan apatah lagi waktu PKP ni saya hanya di rumah,” luahnya.

Suami dilayan ibarat raja

“Wanita ini berkata sudah beberapa kali dia meminta bapanya menasihati ketiga-tiga adik lelakinya itu namun hasilnya tetap mengecewakan”.

“Saya tak nafikan mungkin faktor salah didik membuatkan mereka jadi kurang bertanggungjawab”.

“Sebab ayah dah terbiasa membiarkan mak melakukan kerja-kerja rumah dan suami dilayan ibarat raja,” tulisnya lagi.

Apa yang dilalui oleh wanita tersebut mungkin nampak remeh di mata sesetengah orang, namun sebenarnya situasi tersebut boleh dielakkan sekiranya ibu bapa menyemai nilai-nilai murni ini sedari kecil lagi.

Sudah masanya adat lelaki sebagai raja diubah

Selain itu, cikgu Mohd Fadli turut mengulas pendapat beliau mengenai permasalahan yang dilalui wanita berkenaan.

Menurutnya, sudah tiba masanya adat yang menjadikan lelaki sebagai raja di rumah diubah.

“Ada beberapa adat dan budaya kita perlu diubah semula. Adat yang menjadikan lelaki sebagai RAJA di rumah”.

“Dari kecil, asuhan kita sebagai ibubapa inilah paling penting. Jangan didik anak lelaki kita menjadi raja dan anak perempuan umpama hamba”.

Kerja rumah tugas perempuan dan biarkan anak lelaki main game

“Masih ada adat dan budaya ini diamalkan dibanyak tempat. Asal kerja rumah adalah tugas perempuan”.

“Basuh baju, jemur baju, angkat jemuran, mop lantai, lipat baju, masuk dapur, sapu lantai, dan segala macam kerja rumah, kita suruh anak perempuan buat”.

“Sedang anak lelaki rileks bermain game, tonton tv, bermain gitar dan berehat-rehat saja”.

“Bahkan anak lelaki yang sedang rileks tonton tv sambil goyang kaki boleh arahkan kakak atau adik perempuan yang sedang sibuk mengemas rumah buatkan air Milo ais pula”.

“Dan perkara itu tidak ditegur ibubapa. Ini silap kita”.

Suami hanya goyang kaki dirumah

“Adat ini, budaya ini perlu diubah dan ditukar. Ramai wanita mengeluh dapat suami pemalas yang hanya goyang kaki di rumah, tanpa membantu sedikit pun kerja di rumah”.

Sedangkan bila mereka punyai anak-anak, mereka didik anak lelaki mereka menjadi raja dan anak perempuan umpama hamba.

“Anak lelaki dibiar duduk saja, anak perempuanlah yang dikerah masuk dapur, mop lantai, basuh baju dan sebagainya”.

Kesilapan besar jika galakkan budaya ini

“Satu kesilapan besar disitu bila kita yang galakkan budaya ini terus menerus sebati dan bila besar nanti, anak lelaki kita menjadi seperti suami sendiri yang pemalas dan bersikap dengan sikap yang kita sendiri tidak suka”.

“Pm dari seorang kawan maya ini benar-benar membuat aku tersentak. Biasanya lelaki akan keluar bekerja dan kerja rumah diurus oleh wanita. Itu yang biasa”.

Ayah sokong perangai malas anak lelaki

“Kes ni lagi luar biasa. Dah la tak kerja, tak cari pendapatan, kat rumah pula pemalas. Nak hantar ayah ke hospital pun asyik mengelak”.

“Dan yang menyedihkan, ayah pula bekap perangai malas anak-anak lelaki itu. Nak ubah benda ini, kena dari kecil lagi”.

“Melentur buluh kena dari rebungnya lagi. Jika dah besar panjang, bulu ketiak dah sejengkal, payah dah nak nasihat. Payah dah nak didik. Payah sangat dah nak ubah”.

Didik anak-anak lelaki masuk dapur

“Yang jadi mangsa, anak perempuan yang bergaji secuit cuma itu. Diperah wang gaji, diperah tenaga oleh adik-adik lelaki yang dah besar panjang yang cuma mahu goyang kaki sahaja”.

“Jika kita sekarang merupakan ibubapa, tolong didik anak-anak lelaki kita agar tidak menjadi raja. Suruh anak lelaki masuk dapur sama”.

Gambar hiasan

“Jika pun tidak memasak, suruh basuh pinggan mangkuk dan mop lantai”.

“Suruh mereka basuh baju, sidai baju, angkat kain dari jemuran, vacum lantai, kemas rumah dan apa-apa kerja yang sebelum ini kononnya kerja anak perempuan”.

Ibu bapa yang corakkan sikap anak-anak

“Jangan kita lahirkan raja yang akan menyusahkan isteri dan anak-anak dia pula kelak. Kitalah yang mencorak bagaimana sikap anak-anak kita suatu hari nanti”.

Gambar hiasan

“Jika hari ini kita memanja-manjakan mereka, membelai sahaja tanpa menyuruh apa-apa, kebarangkalian mereka akan menjadi raja di rumah suatu masa nanti itu sangat tinggi”.

“Dan kitaran itu takkan berhenti selagi kita tidak mulakan perubahan ini”.

Buang tanggapan kerja rumah kerja perempuan

“Ayuh kawan-kawan semua. Kita didik anak-anak lelaki kita buat kerja rumah sama. Buang tanggapan kerja rumah adalah kerja orang perempuan”.

“Ia adalah tugas bersama baik lelaki baik perempuan” tulisnya.

Selain itu, rata-rata netizen turut berkongsi pendapat dan reaksi mereka mengenai kisah wanita ini.

Semoga perkongsian ini menjadi teladan dan contoh kepada semua di luar sana dalam mendidik insan yang berguna serta bertanggungjawab.