Jualan Apple Watch Melangkaui Jualan Rolex Sepanjang 2015

Apple Watch gagal! Apple Watch tidak laku! Ini ialah dua perkara yang sering didengari dan ini adalah kebenaran yang sehingga kini tidak pernah diakui oleh Apple. Tetapi istilah gagal ini adalah subjektif dan bergantung kepada jangkaan yang ditetapkan. Harapan Apple terhadap Apple Watch adalah amat tinggi. Penganalisis pula berharap Apple Watch akan memulakan revolusi jam tangan pintar. Sungguhpun begitu ini tidak menghalang Apple Watch dari mencatatkan jualan yang lebih tinggi berbanding jam tangan berjenama Rolex tahun lalu.

 

Menurut laporan Wall Street Journal, Apple Watch mencatatkan jualan sebanyak $6 Billion tahun lalu. Ini adalah jauh lebih tinggi berbanding $4.5 Billion yang dicatatkan oleh Rolex pada tempoh yang sama. Keuntungan yang dicatatkan untuk setiap jualan juga tinggi kerana kos penghasilan ialah sekitar $90 tetapi dijual pada harga bermula $299 sebuah. Jam tangan ini mungkin dilihat sebagai gagal kerana jualan tidak mencapai sasaran. Namun ia kegagalan yang masih mencatatkan jualan yang tinggi. Jika ini dianggap sebagai gagal, apakah takrifan kejayaan menurut kamus Apple?