Hanya Kerana Tertusuk Duri Sawit, Jari Lelaki Ini Terpaksa Dibedah

Bekerja di kebun kelapa sawit memang tinggi risikonya berbanding di tempat lain. Selain terdedah dengan ancaman haiwan liar, pekerja juga dikhuatiri tercedera semasa mengendali buah sawit.

Kecederaan boleh berlaku sama ada kecuaian sendiri mahupun orang lain. Oleh itu pekerja kebun disarankan jika terjadi kemalangan, cepat-cepat dapatkan rawatan agar kesakitan yang ditanggung tidak melarat.

Sama seperti yang dikongsikan oleh seorang wanita di TikTok ini di mana jari tengah suaminya dilihat bengkak serta bernanah akibat terkena duri buah sawit.

Menurut wanita yang dikenali sebagai Fazlin Stella, 28, suaminya Mohd Aidil Ahmad Jamili, 31 tertusuk duri buah sawit ketika sedang menyusun buah sawit di dalam lori untuk dihantar ke kilang.

Katanya, mujur suaminya itu dikejarkan ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut di hospital, menyebabkan jari Aidil dapat diselamatkan.

Difahamkan, Aidil cuba menyusun buah yang dilihat berbonggol bagi memudahkan kanvas menutup buah namun tergelincir lalu terjatuh di atas timbunan buah sawit.

Disebabkan itu, duri buah sawit menusuk ke dalam jari Aidil. Kerana tiada rasa sakit, Aidil mencabut duri buah sawit lalu melakukan kerja seperti biasa.

Pun begitu, beberapa hari kemudian kesakitan di jari Aidil tidak berkurangan dan bengkak tidak surut-surut walaupun sudah ikhtiar pelbagai petua.

Pada hari ketiga Aidil memutuskan untuk mendapatkan rawatan di klinik namun terpaksa dimasukkan ke hospital akibat bengkak teruk dan nanah.

Tambah Fazlin, jari suaminya terpaksa dibedah dan doktor menyatakan kelewatan mendapatkan rawatan boleh menyebabkan jangkitan makin parah dan jari boleh dipotong.

Yang lebih membimbangkan wanita itu, dia ada terbaca di dalam komen TikToknya di mana terkena duri buah sawit boleh mengakibatkan maut.

Sekarang, Aidil masih lagi dalam proses penyembuhan dan Fazlin sempat menasihati orang ramai agar tidak ambil mudah dengan bahaya duri buah sawit.

Video yang tular di laman TikTok

@faiqfahairasy #CapCut cepat sembuh suamiku .hati2 yang bekerja dengan sawit bisa betul duri dia … #fyp #abangSawit ♬ Doa Untuk Kamu – Aviwkila