“Jangan aniaya saya..” Didakwa Berkait Kes Tuntutan Hadiah Aishah, DSV Tampil Jelaskan

Sebelum ini tular dengan isu tuntutan hadiah tanah lot banglo yang membabitkan penyanyi terkenal Dato Aishah Ariffin sewaktu menjuarai Gegar Vaganza musim ke 4. Namun, ada di antara warga netizen yang mengaitkan Dato Seri Vida dengan kes tuntutan hadiah berkenaan.

Penyanyi dan usahawan kontroversi, Dato Seri Vida tampil menjelaskan dakwaan mengenai isu terbabit dan meminta agar orang ramai tidak melibatkan dirinya.

Memetik laporan Utasan Malaysia, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV) menjelaskan yang beliau tiada kaitan dengan penajaan hadiah sebidang tanah lot untuk penyanyi lagu Janji Manismu itu. Katanya, hadiah berkenaan juga melibatkan penaja lain.

“Apa pasal ya? Asal Aishah buat tuntutan saja orang cari saya? Apa hal ini? Saya pun jadi hairan. Rasanya ramai sudah keliru ini. Saya tak ada kaitan pun dengan penajaan berupa sebidang tanah semasa menjayakan program GV4 itu.

“Penaja yang terlibat difahamkan merupakan sebuah syarikat peneraju perumahan. Sebelum ini pun, isu antara saya dengan Aishah membabitkan tajaan hadiah barangan kemas. Tetapi, hal itu pun sudah lama selesai.

“Jadi, saya harap, jangan kaitkan dengan saya tentang hadiah tanah itu. Saya tiada kaitan. Jangan menganiaya saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dato Seri Vida juga sukar  untuk melupakan isu konflik salah faham yang mengatakan barangan kemas dihadiahkannya adalah palsu, pemberian hadiah berupa barangan kemas kepada juara GV4 itu juga menyebabkan perniagaan kedai emasnya terjejas.

“Waktu itu memang terjejas teruk. Bukan tahap jatuh terduduk, tapi terlentang, terguling sebab orang fitnah saya jual barang kemas palsu.

“Untuk saya bangkit kembali, bukan senang. Tapi, saya yakinkan diri untuk bangun semula di sebalik segala yang terjadi,” jelasnya lagi.

Difahamkan, Vida juga serik untuk menjadi penaja kepada mana-mana program televisyen setelah melalui pelbagai pengalaman pahit sebelum ini. Beliau mahu menjalankan perniagaanya dengan tenang supaya tidak tersilap langkah.

“Memang agak serik. Tengoklah, mana ada saya jadi penaja mana-mana program lagi buat masa ini. Tak nak dah terkena macam dulu.

“Saya ambil masa untuk bertenang. Kalau ada yang datang nak saya taja program selepas ini, saya nak tanya apa manfaat yang kita boleh dapat? Apa jaminan untuk diri dan perniagaan saya boleh naik? Bukan sekadar nak glamor-glamor lagi.

“Mereka nak cari penaja untuk program mereka, tapi kita sebagai penaja tidak dilayan sepatutnya. Seriklah saya,” katanya.

Sekadar info, Aishah yang menjuarai program GV4 pada tahun 2017 mendakwa sehingga sekarang masih belum menerima hadiah berupa sebidang tanah lot banglo yang dijanjikan oleh penaja.