Selebriti popular, Faezah Elai berkongsi cabaran bergelar ibu tiri terutamanya apabila perlu berdepan dengan pelbagai persepsi umum dengan status tersebut.
Menurut Faezah, kredibiliti seseorang ibu tiri sering dipertikai sekiranya terjadi sesuatu hal terhadap anak yang dijaga.
Bukan tugas mudah
“Menjadi ibu tiri bukan satu tugas yang mudah. Sering disalah faham oleh masyarakat, peranannya kurang diiktiraf.
“Jika sesuatu berlaku dengan anak tiri, andalah akan dipersalahkan. Masyarakat akan kata ‘duduk dengan mak tiri macam tu lah, mana sama macam duduk dengan mak sendiri. Mesti stres dengan mak tirilah tu’.
“Namun, jika mereka berjaya, semua kredit akan ditujukan kepada ibu kandung. Depa akan kata, ‘Tengok, walaupun dia ibu tunggal, tetap berjaya didik anaknya. Wanita tabah!’. Walau hakikatnya anak-anak duduk dengan mak tiri,” katanya menerusi satu entri di Instagram.
Tak bercakap tentang kehidupan dirinya
Begitupun, kata Faezah, apa yang dikongsikannya itu tidak ada kena mengena dengan kisah dirinya yang selama ini turut membesarkan tiga orang anak tiri.
“Jangan salah sangka, saya tidak bercakap mengenai kehidupan saya. Saya bertuah mempunyai tiga anak angkat yang sangat memahami. Ya, saya sudah menjaga anak-anak tiri saya sejak saya berkahwin.
“Saya amat menghormati perasaan ibunya, dan sebab itulah saya tak pernah berkongsi apa-apa pun mengenai anak tiri saya,” katanya
Ibu tiri berhak terima penghormatan
Namun begitu, menurutnya lagi, ibu tiri juga berhak menerima penghormatan sama seperti seorang ibu kandung.
“Ibu tiri berhak menerima penghormatan sama seperti ibu lain. Mereka curahkan masa, tenaga dan kasih sayang kepada anak yang mereka sendiri bukan lahirkan.
“Jadi, kepada ibu-ibu di luar sana, jika anak anda mempunyai ibu tiri yang menjaga mereka, andalah ibu yang bertuah!
“Beritahu mereka bahawa tak salah menyayangi ibu bapa tiri. Bukannya cucuk anak suruh benci, tapi hang tak bela anak hang, mak tiri yang bela,” katanya.
Jangan harapkan balasan
Dalam pada itu, Faezah turut menasihati ibu-ibu tiri di luar sana untuk tidak mengharapkan sebarang balasan daripada segala pengorbanan yang dibuat selama ini.
“Kepada ibu-ibu tiri, ingatlah, sesiapa pun boleh menjadi seorang ibu. Menjadi seorang ibu tidak memerlukan pertalian darah, ia hanya perlukan diri anda untuk seseorang yang anda sayang.
“Mak tiri, jagalah anak-anak tiri tanpa mengharapkan apa-apa bila anda dah tua. Buatlah dengan ikhlas sebab kalau mengharap nanti sendiri kecewa,”
Faezah Elai telah mendirikan rumah tangga dengan seorang pengarah, Heykal Hanifah pada September 2011.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini telah dikurniakan dua orang cahaya mata, Dealova Heyrinna, 7, dan Auroroa Heyrinna yang berusia 4 tahun.
Faezah juga menjaga tiga orang anak tirinya iaitu Luqman Hakim, Sarah dan Luq Adam.