Jadi Bahan ‘Body Shaming’ Kerana Bentuk Dahi, Qasrina Karim Luah Rasa Sedih

Memulakan kerjayanya sebagai seorang model sejak hujung tahun 2016 dengan memperagakan koleksi jenama terkenal termasuk produk hijab Alhumaira sebagai wajah rasmi, pelakon yang baru meningkat naik, Qasrina Karim menerusi filem Kongsi Raya ini telah menjadi perhatian ramai apabila memiliki wajah seiras pelakon Mira Filzah selepas tular di laman Twitter pada tahun 2018.

Terbaharu, pelakon ini bakal membintangi drama bersiri terbaharu Senduk Swap yang bakal bermula pada 9 September bersama pelakon lain Emma Sofea, Eizlan Yusof, Fatima Abu Bakar dan ramai lagi.

Pun begitu, dia telah meluahkan rasa sedih dan kecewanya kerana telah menjadi salah seorang mangsa kecaman oleh netizen di media sosial.

Memetik laporan Harian Metro, Qasrina Karim telah mencuri tumpuan ramai apabila rata-rata netizen memberikan kata-kata yang kurang senang berkenaan penampilan dirinya. Menurut Qasrina, dia tidak pernah lagi menerima sebarang komen yang negatif mengenai lakonanya sepanjang menceburi bidang tersebut.

“Ada yang menulis komen negatif mengenai bentuk dahi saya yang besar. Itu menjadi sasaran netizen untuk menulis komen berbaur ‘body shaming’ sebegitu,” katanya.

Tambahnya, komen yang diterimanya itu sememangnya membuatkan dirinya sedih namun dia perlu menguatkan semangat untuk meneruskan kerjayanya.

“Ketika pertama kali membaca komen-komen begitu, saya memang sedih sebab saya tak ada buat salah pun. Orang ambil gambar dari media sosial saya, kemudian muat naik ke Twitter dan membuka ruang untuk netizen menulis komen.”

“Mereka (netizen) ini berada di sebalik papan kekunci, jadi mereka tulis dan cakap bukan-bukan. Sedih bagaimana sekalipun, saya tetap teruskan kerja-kerja saya,” ujarnya.

Susulan isu tersebut, bagi mengelakkan rasa tertekan dan sedih dia tidak mahu lagi membaca sebarang komen mengenai dirinya. Lagi lagi, berkenaan netizen yang sememangnya tidak boleh dikawal.

“Jika tidak, mental saya akan jadi lemah, tertekan dan tak pasal-pasal saya sedih. Saya tak boleh nak tutup komen sebab komen-komen itu di akaun Twitter orang lain (yang memuat naik gambar Qasrina).

“Saya luahkan kesedihan saya kepada keluarga dan mereka yang banyak pujuk serta beri kekuatan kepada saya. Kata mereka, kita takkan boleh nak kawal dan tukar cara pemikiran netizen,” tambahnya.