Isu Busana ‘Plastik Sampah’ Dikritik, Aina Abdul Luah Rasa Tertekan

Terdahulu, penyanyi Aina Abdul yang terkenal dengan imej-imej pelik ketika membuat persembahan pentas ataupun hadir ke sesuatu acara ini telah mencetus pelbagai reaksi netizen di media sosial kerana tampil dengan busana aneh rekaan Behati ketika menghadiri Kuala Lumpur Fashion Week 2022 beberapa minggu yang lalu.

Susulan penampilan tersebut, penyanyi Nurul Aina Abdul Ghani atau lebih mesra dipanggil Aina ini mendapat kecaman yang hebat sehingga ada yang menyamakan busana tersebut dengan timbunan plastik sampah malah ada yang menggelar Aina ‘attention seeker’ kerana mahu ‘viral’ dengan imej tersebut.

Terbaharu, penyanyi ini tampil meluahkan rasa tertekan selepas menerima kritikan yang hebat oleh netizen berkenaan busana yang dipakainya ketika menghadiri acara KLFW.

Bukan itu sahaja, ada yang mendakwa Aina menyokong pereka fesyen jenama Behati iaitu Kel Wen yang juga menjadi perbualan netizen kerana mencabul pakaian kebangsaan selepas dilihat memakai sampin dan songkok serta gaya seperti separuh bogel.

Memetik sumber, susulan isu tersebut Aina mengatakan dia hanya mampu berdiam diri kerana tidak sanggup untuk melihat komen-komen yang berbaur negatif dilemparkan terhadap dirinya itu dan menutup telefon bimbitnya daripada menerima sebarang notifikasi.

“Sebenarnya semenjak saya muncul memakai baju busana Behati hari itu saya tiada bagi sebarang kerana amat takut hendak membuka telefon.…sebab hampir setiap hari saya terima komen negatif dan kecaman yang teruk..”

“Kadang-kadang ia datang dari dua pihak iaitu satu yang mengata baju Aina dan satu pihak lagi yang mengecam akan tindakan saya komen tanda suka di Instagram Kel Wen dari foto baju yang mendapat kecaman ramai… Niat saya hanya untuk menyokong kawan-kawan berkarya. Saya nafi saya pakai busana itu untuk tular kerana sejujurnya saya suka akan baju yang direka untuk saya itu” katanya.

Dalam pada masa yang sama, penyanyi yang terkenal dengan lagu Terus Hidup ini memaklumkan dia juga menerima komen warganet yang mempersoalakan agama dan kepercayaan.

“Saya fikir ia perkara kecil tapi ramai pula yang mengecam komen Aina di dalam IG Kel. Saya tak sangka perkara itu dianggap sebagai isu sensitif ibarat macam saya menyokong apa yang Kel buat masa itu… Orang terlalu marah sehingga mempersolakan agama dan kepercayaan saya. Mereka tuduh dan cakap saya tak tahu agama dan sebagainya. Ia benar-benar menyedihkan saya.. ” tambahnya lagi.

Pun begitu, Aina Abdul juga tampil mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada netizen yang merasakan tindakannya sebagai keterlaluan. Aina juga sempat menitipkan kata-kata semangat buat Kel agar terus kuat dan menjadi diri sendiri.

“Saya nak minta maaf pada netizen jika fesyen yang saya gayakan keterlaluan. Situasi yang saya hadapi ini agak berat dan saya tak boleh cakap saya tak setuju sepenuhnya dengan netizen dan saya juga tak cakap saya setuju sepenuhnya dengan Kel..”

“Cuma saya nak beritahu Kel, kamu seorang yang berani dan teruskan minat apa yang kamu hendak lakukan, jadi diri anda sendiri” ujarnya.