Isteri Sarat Hamil Pulang ke Kampung, Suami Ditangkap Basah Dengan Isteri Orang Lain

Seorang lelaki dicekup berkhalwat dengan pasangannya di sebuah rumah di Taman Sungai Kob, Kulim hari ini, lapor Harian Metro.

Walau bagaimanapun, lelaki berusia 29 tahun itu tetap cuba meyakinkan anggota penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) yang dia dan pasangannya itu telah berkahwin di Thailand.

Ternyata percubaannya gagal apabila semakan PADK mendapati kedua-duanya sudah mempunyai isteri dan suami.

Setelah disoal siasat lelaki itu memaklumkan, isterinya yang sedang hamil anak kedua, pulang ke kampung.

Wanita berusia 37 tahun itu pula sudah mempunyai dua anak dan sedang dalam proses bercerai dengan suaminya.

Difahamkan, PADK membuat serbuan ke rumah itu pada jam 4.40 pagi selepas mendapat maklumat dari orang awam. Sepasukan anggota yang tiba di rumah itu, mengetuk pintu dan dibuka oleh wanita berkenaaan, manakala lelaki itu pula berada di ruang dapur.

Ketika diserbu, hanya mereka berdua sahaja berada di dalam bilik dan disyaki melakukan maksiat di rumah tersebut.

“Mereka pada mulanya mengaku pasangan suami isteri dan bernikah di Thailand. Namun gagal menunjukkan sebarang dokumen pernikahan, malah siasatan mendapati masing-masing sudah berkahwin,” kata Pegawai Penguatkuasa Agama Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saat.

Kedua-duanya ditahan kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke Balai Polis Sungai Kob untuk tindakan selanjutnya sebelum dibawa ke pejabat agama untuk diambil keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.