Mangsa Kemalangan Kereta Lawan Arus Meninggal Dunia

Isteri kepada pemandu kereta Corolla Altis yang terlibat dalam kemalangan melawan arus pada Rabu lalu disahkan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, Goh Shei Yi, 31, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSJ pada jam 11 pagi.

Menurutnya, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah disebabkan kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya.

“Suami mangsa yang sebelum ini dirawat di HSJ telah dipindahkan ke ICU Hospital Island di Georgetown, manakala anaknya berusia tiga tahun juga dirawat di hospital sama.

“Pemandu kereta Honda City berusia 43 tahun pula masih dirawat di ICU HSJ dan dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Rabu lalu, dua pemandu kereta parah dan tidak sedarkan diri selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini pada jam 8.20 malam.

Siasatan awal polis mendapati kejadian melibatkan dua buah kereta dan sebuah motosikal itu berpunca daripada salah sebuah daripada kereta terlibat dikatakan telah melawan arus.

Kejadian yang berlaku di Kilometer 13.0 BORR arah Bagan Ajam itu melibatkan kereta jenis Corolla Altis, Honda City dan motosikal Benelli Leoncino.

Kemalangan berpunca apabila pemandu Honda City dari arah Bagan Ajam menghala ke Sungai Dua telah memandu melawan arus.

Akibat pelanggaran itu, dua pemandu kereta parah dan tidak sedarkan diri, namun penunggang motosikal serta pembonceng tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, dua pemandu kereta parah dan tidak sedarkan diri apabila terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini pada jam 8.20 malam, Rabu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati, kejadian melibatkan dua kereta dan sebuah motosikal itu berpunca daripada salah sebuah daripada kereta terlibat dikatakan telah melawan arus.

Menurutnya, punca pemandu tersebut melawan arus belum diketahui berikutan dia kini tidak sedarkan diri kerana cedera parah.

“Kejadian yang berlaku di Kilometer 13.0 BORR arah Bagan Ajam itu melibatkan kereta jenis Toyota Corolla Altis, Honda City dan motosikal Benelli Leoncino. Kemalangan berpunca selepas pemandu Honda City dari arah Bagan Ajam menghala ke Sungai Dua telah memandu melawan arus.

“Akibatnya, kereta tersebut telah bergesel dengan motosikal lalu melanggar kereta Toyota Corolla Altis secara bertentangn (yang berada di laluan yang sah),” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Tambahnya, susulan pelanggaran itu, dua pemandu kereta parah dan tidak sedarkan diri namun penunggang motosikal serta pembonceng tidak mengalami kecederaan.

Penunggang dan pembonceng motosikal tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan di Lingkaran Luar Butterworth (BORR) pada jam 8.20 malam, Rabu.

“Penunggang berusia 24 tahun dan pembonceng, 28, tidak terjatuh dan tidak mengalami kecederaan, manakala pemandu Honda City, 43, serta pemandu Toyota Corolla Altis, 35, yang tidak sedarkan diri kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.

Noorzainy berkata, penunggang motosikal dan dua pemandu kereta mempunyai lesen memandu yang sah tempoh selain lesen kenderaan bermotor mereka juga masih sah tempoh.

“Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan usaha mengesan saksi sedang dilakukan untuk menjalankan siasatan lanjut. Orang awam yang menyaksikan kejadian boleh tampil menyalurkan maklumat di balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Syafinaz di talian 018-2881424.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya