Ini Sebab Caj Klinik Swasta Mungkin Naik 3 Kali Ganda Tahun Depan

Caj rawatan klinik swasta mungkin akan meningkat pada tahun depan seperti yang telah dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan di Putrajaya pada 27 Ogos yang lepas.

Harga caj semasa adalah di antara RM10 hingga RM35 mungkin akan dinaikkan kepada RM35 hingga RM125, lapor Bernama.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata cadangan pembaharuan bayaran yuran itu telah lama tertangguh sejak semakan pada tahun 2006.

“Penyakit yang lebih kompleks, semakin tinggi caj konsultasi, harga siling untuk caj konsultasi adalah RM125,” katanya.

Peningkatan harga itu dibincangkan dengan pihak berkepentingan iaitu pengamal klinik swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan kumpulan pengguna untuk memastikan semakan itu dilakukan secara adil, kata Azman selepas sesi semalam.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyokong semakan harga tetapi memberi amaran terhadap peningkatan harga yang terlalu tinggi.

Timbalan presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman dipetik sebagai berkata oleh New Straits Times bahawa peningkatan harga diperlukan kerana kos perubatan terlalu tinggi untuk yuran konsultasi RM10 hingga RM35.

“Hari ini, ubat-ubatan sahaja boleh mencapai lebih daripada RM100, bergantung kepada sama ada ia generik atau berjenama,” katanya.

Mohd Yusof  berkata kenaikan 30 hingga 50 peratus dalam yuran konsultasi adalah munasabah. Namun, beliau turut memohon agar kementerian tidak meningkatkan caj terlalu tinggi kerana ia boleh menambah beban kepada rakyat.

Beliau berkata kenaikan harga tidak boleh dikenakan kepada semua klinik swasta, kerana penduduk luar bandar tidak mampu untuk membayar yuran yang tinggi.

“Bayaran harus selaras dengan demografi, lokasi dan perkhidmatan / kemudahan yang terdapat di klinik tertentu.

“Ini adalah kebimbangan utama di kalangan ramai kerana kos perubatan hari ini tidak mampu ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah dan penduduk di kawasan luar bandar,” kata Yusof.

Yusof berkata walaupun dalam kawasan bandar, yuran yang lebih daripada RM80 atau RM100 tetap akan membebankan pesakit.

Adakah anda setuju dengan peningkatan harga caj  konsultasi klinik swasta ini?