“Ikhlas, ikhlas, lepaskan..” Pesakit di Wad Kongsi Detik-detik Akhir Arwah Sandra Dianne

Setelah hampir seminggu pemergian Allahyarhamah Sandra Dianne, tercetus pelbagai spekulasi mengenai kematiannya.

Apa yang menyedihkan, ada dakwaan yang mengatakan ibu, Nur Sakinah sengaja mencabut alat bantuan pernafasan anak sendiri. Bagaimanapun, dakwaan tersebut telahpun dijawab oleh ibu arwah.

Seorang pengguna Facebook Amni Fatnin yang merupakan salah seorang pesakit di wad sama dengan Allahyarham Sandra kongsi detik di ruang tersebut sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir.

Terpanggil bercerita apa yang berlaku di depan mata

Amni menceritakan kejadian sebenar sewaktu Allahyarhamah dimasukkan ke wad berkenaan dari ICU dan berada di katil depannya.

Dia turut menceritakan keluarga yang berada di wad tersebut sering membaca surah Yassin kepada arwah.

Komanya macam tidur

“Hari Khamis (10.9.2020), seorang pesakit dari wad icu masuk bilik yang sama dengan saya, katilnya di sebelah depan saya. Wajahnya tenang, bersih, cantik”.

“Komanya macam tidur. Sesekali nurse datang, doktor datang panggil namanya, ‘Alesandra, Alesandra”.

Ibunya lap air mata si anak

“Ada seorang perempuan yang setia menjaga di sisi, pakai mask, susuk badan macam orang muda, jadi pada perkiraan saya itu kakaknya, hakikatnya itu ialah ibu yang sangat sayangkan anak perempuannya”.

“Doa dan doa, bacaan yasin terus dibacakan. Ada juga sesekali si ibu pasangkan voice note kata semangat, (mungkin dari saudara atau sahabat dekat) di telinga pesakit”.

Pesakit tetap tenang macam tidur

“Tiada respon dari pesakit kecuali air mata. Nampak ibunya lap air mata si anak. Bila si ibu turun, naik pula seorang lelaki, bacakan yasin, azankan di telinga pesakit, baca syahadah di telinga pesakit. Pesakit tetap tenang, macam tidur”.

“Kemudian saya tidur tak sedarkan diri (kesan bius operate di badan masih ada)
Jam 11 malam, nurse kejut untuk makan ubat”.

“Dari sudut langsir yang sedikit terselak, nampak pesakit yang tenang tadi, mula tenat. Doktor, nurse berkumpul, dengan sangat bersungguh cuba selamatkan pesakit”.

“Anakku, oh tuhan anakku”

“Dengar tumit kasut si ibu berlari masuk bilik sambil menangis, mintak ditemani, mintak kekuatan. Lepas saya makan ubat, muntah, cucuk jarum dan masuk ubat, saya tidur lagi tak sedarkan diri”.

“Jam 2 pagi Jumaat (11.9.2020) saya terjaga sekali lagi. Kali ni kerana esakan si ibu. ‘anakku, anakku, oh tuhan, anakku”.

“Ikhlas, ikhlas lepaskan”

“Dengar suara lelaki cuba pujuk isterinya, ‘ikhlas , ikhlas, lepaskan’. Mesin pun dah tak bunyi”.

“Saya panggil nurse untuk papah saya ke toilet. Dari toilet saya nampak jelas jenazahnya” tulisnya lagi.

Wajahnya putih bersih dan tenang sangat

“Entah kenapa. Tenang sangat. Macam tidur. Wajahnya putih bersih, macam kapas. Tak ada 1 calar pun di muka, subhanallah, langsung tak macam accident. Kemudian saya tidur lagi tak sedarkan diri, kesan bius belum habis”.

“Bila saya bangun keesokan pagi, katilnya dah kosong. Jenazahnya dah dibawa turun. Dan bila saya bertanyakan nurse, baru saya tahu dia itu seorang artis, Sandra Dianne”.

Kematianmu disebut, dicemburui dan ramai yang doakan kamu

“Semoga awak husnul khotimah, Sandra. Sungguh, kematianmu disebut, dicemburui. Ramai yang doakan kamu”.

“Jadi, di manakah kemanusian kamu bila kata arwah ‘mati katak’, ‘ibu arwah sengaja memilih untuk cabut oxygen dihari jumaat”.

Ibu arwah yang paling terkesan

“Ibu arwah lah yang paling terkesan, sedih dan tak bersedia untuk kehilangan anaknya, tak mungkin si ibu yang memilih hari untuk nyawa anaknya dicabut”.

“Sebenarnya tak ada pun bantuan oxygen pada arwah. Yang ada cuma tiub. Saya cuma cerita apa yang saya nampak, dalam keadaan separa sedar” tulisnya.

Salam takziah kepada arwah Sandra dan semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, Amin.