Ibu Tunggal Dipenjara Tapi Anak Zahid Hanya Didenda, Ini Jawapan Menteri

Seorang ibu tunggal yang sebelum ini melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mempersoalkan keputusan mahkamah terhadap anak dan menantu bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas kesalahan sama.

Nurulhidayah Ahmad Zahid dan suaminya Saiful Nizam Mohd Yusoff didenda RM800 manakala ibu tunggal tersebut, Lisa Christina dikenakan hukuman penjara 8 hari dan denda RM1000.

“Semasa saya dipenjara selama lapan hari, perasaan saya hancur berkecai kerana tidak dapat melihat anak dan berasa sangat malu.

“Saya juga terpaksa meminjam wang daripada emak sebanyak RM1,000 untuk membayar denda.

“Hari ini (semalam), saya baca anak Zahid hanya diberikan denda RM800 atas kesalahan yang lebih besar dan tidak ada hukuman penjara dikenakan terhadapnya.

“Adakah saya rakyat kelas kedua di negara ini? Kenapa wujud tindakan berat sebelah? Saya perlukan penjelasan berhubung perkara ini,” katanya menerusi laporan FMT News

Namun begitu Menteri Kanan (Keselamatan) tampil menjelaskan perkara itu adalah di bawah bidang kuasa majistret terlibat.

“Ada hukuman RM1,000 atau enam bulan penjara. Dalam undang-undang menyebut denda tidak melebih RM1,000.

“Kuasa menentukan jumlah hukuman terletak di bawah bidang kuasa majistret terlibat.

“Keputusan terserah kepada budi bicara mahkamah yang menentukan hukuman dikenakan terhadap pesalah,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Rabu petang.

Jelasnya lagi, kerajaan tidak campur tangan dalam keputusan dibuat mahkamah berhubung pekara itu.

“Kita sebagai negara demokrasi amal sistem kehakiman maka kerajaan tak campur tangan dalam keputusan dibuat di mahkamah.

“Sebab itu ada (hukuman) berbeza, mungkin setiap kes ada fakta kes berbeza yang menyebabkan majistret buat keputusan sedemikian rupa,” katanya.

Terdahulu, anak Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu Datuk Nurulhidayah dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff didenda masing-masing RM800 di Mahkamah Majistret di Putrajaya pada Selasa atas kesalahan ingkar PKP.