Ditawarkan Gaji RM1400, Gelandangan Mula Hidup Baru Hadir Temuduga Kerja

Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, seramai 800 orang gelandangan di sekitar ibu kota telah ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara.

Sebahagian daripada mereka diberi peluang untuk menjalani proses temu duga kerja bermula hari ini hingga Selasa depan.

Inisiatif itu dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui jawatankuasa khas gelandangan dianggotai agensi kerajaan seperti Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Di antara jawatan yang ditawarkan adalah operator pengeluaran kilang dengan gaji permulaan sebanyak RM1,400 berserta elaun.

Bukan itu saja, mereka turut berpeluang bertugas sebagai pekerja am Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan gaji harian yang membolehkan mereka menerima kira-kira RM1,200 sebulan.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, beliau meluahkan rasa syukur kerana gelandangan menyahut seruan pihaknya untuk memulakan kehidupan baru.

Tambahnya lagi, sementara menunggu untuk mula bekerja, gelandangan akan dipindahkan ke dua asrama yang disediakan DBKL dan syarikat yang bakal menggajikan mereka.

“Saya amat bersyukur mereka sahut seruan saya untuk memulakan hidup baharu. Semoga dengan berkat Ramadan kita semua beroleh keampunan dan keredaan Allah SWT,”

Sebelum ini, KWP bersetuju untuk mewujudkan dana khas berjumlah RM1 juta bagi tujuan perubatan, perkhidmatan kaunseling, penyediaan kemudahan dan peluang pekerjaan golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

Semoga usaha ini dapat mengubah nasib mereka sekaligus mengurangkan bilangan gelandangan terutamanya di ibu kota.