Ibu Terkesima Dengar Alasan Anak Tolak Tawaran Kolej, Risaukan Nenek Terlantar & Adik2 Siapa Nak Jaga

Bagi pelajar yang baru sahaja menamatkan zaman persekolahan, pasti teruja ingin menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi.

Iospital phone repair gombak

Jumpa kawan baru, suasana baru malah kalau diberikan rezeki, dapatlah merantau ke tempat orang.

Pun begitu, ada juga pelajar yang terpaksa berkorban mengetepikan cita-cita atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan.

Persis kisah remaja perempuan ini yang memilih untuk menolak tawaran melanjutkan pelajaran demi keluarga.

Menerusi perkongsian video di TikTok oleh ibu gadis itu, anaknya yang akan memasuki tingkatan empat mendapat tawaran dari Kolej Vokasional Tanjung Puteri dalam kursus Teknologi Automotif.

“Bila keluar keputusan, barulah dia cakap ‘siapa nak bantu mama dan ayah uruskan Nenek Ani? Siapa nak uruskan adik-adik?’

“Patutlah beriya tak nak masuk kolej,” tulis si ibu di ruangan kapsyen.

Wanita bernama Farisa Karmila itu berkata, dia sendiri tersentuh selepas anak sulungnya, Nur Faieza Farisa Mohd Fariduddin Fawwaz memilih untuk mengutamakan keluarga berbanding masa depannya.

“Sebenarnya sebelum Along mohon kolej, dia tanya dulu dan saya setuju saja. Selepas menjawab ujian kemasukan kolej, dia kata tak jadi nak masuk tapi tak cakap sebab.

“Kemudian selepas dapat panggilan interview, sekali lagi cakap tak jadi pergi kalau dapat. Saya tanya ‘Along nak kerja ke?’ tapi dia masih tak cakap sebabnya. Bila keluar keputusan pada 17 Mac baru-baru ini, saya tanya lagi sekali.

“Terus dia cakap siapa nak jaga adik-adik dan Nek Ani. Saya rasa sedih bila dengar kata-katanya. Dia pilih untuk utamakan keluarga ketika remaja lain teruja nak capai impian, tapi dia tolak,” kata wanita berusia 34 tahun ini mengenai anak sulungnya, Along.

Tambah ibu kepada lapan cahaya mata ini, Along seorang anak yang sangat bertanggungjawab, ringan tulang dan tidak pernah merungut meskipun masa remajanya banyak dihabiskan untuk keluarga.

“Along ada tujuh adik dan sebagai kakak, dia banyak membantu jaga adik-adik. Selain itu, dia juga jaga nenek saudaranya, Nek Ani yang terlantar sakit. Kami menjaga Nek Ani sejak 10 tahun lalu.

“Sebab terbiasa tengok saya dan suami uruskan Nek Ani, dia tak kekok langsung mandikan, bersihkan, bagi makan untuk Nek Ani lebih-lebih lagi bila saya sibuk berniaga makanan.

“Kadang-kadang dia bantu kami berniaga juga. Ada masa dia keluar juga dengan kawan-kawan tapi lebih banyak masanya untuk keluarga,” katanya yang mempunyai anak antara enam bulan hingga 16 tahun.

Bagaimanapun, dia dan suami memujuk anak sulung mereka agar menerima tawaran tersebut demi masa depannya.

“Bahkan Nek Ani pun pujuk dia. Kami kata, urusan di rumah, biarlah mama ayah dan adik-adik yang dah besar uruskan. Akhirnya selepas dipujuk, Along akur untuk terima tawaran itu,” katanya yang menetap di PPR Kempas, Johor Bahru.

Tambahnya, Along akan mendaftar masuk ke kolej berkenaan pada 27 Mac ini.

Tidak menyangka perkongsian kisah anaknya meraih melebihi 1.2 juta jumlah tontonan, Farisa terharu apabila mendapati netizen memberikan sokongan buat Along.

“Alhamdulillah saya bersyukur dengan komen yang positif. Malah ramai yang mendoakan kejayaan Along. Semoga doa itu semua berbalik kepada mereka juga.

“Saya sekadar kongsi video itu untuk dijadikan kenangan. Dalam masa yang sama, mahu sampaikan mesej positif kepada orang lain. Tak ramai remaja yang sanggup nak jaga orang tua sebab sebenarnya ia tak mudah.

“Mudahan secara tak langsung, menerusi video ini, saya dapat berkongsi nilai-nilai murni dengan orang lain,” akhirinya.