Ibu Sarat Hamil Gigih Masak & Bawa 3 Anak COD Tomyam, Sekali Pelanggan ‘Prank Order’ Bikin Netizen Berang

‘Prank order’ sememangnya pada masa kini tidak asing lagi dimana ada individu yang tidak bertanggungjawab berlakon sebagai pelanggan dan order makanan dalam jumlah yang banyak dan tiba pada waktu penghantaran, pelanggan ‘ghaib’ dan tidak dapat dihubungi.

Bukan ‘abang rider’ sahaja yang sering berdepan dengan isu tersebut malah peniaga kecil juga turut terkesan dengan adanya individu yang tidak berhati perut seperti ini kerana ianya akan mendatangkan kerugian kepada peniaga.

Begitu juga yang berlaku kepada wanita cekal ini dimana dia meluahkan rasa sedihnya di laman TikTok yang memaparkan dirinya yang sedang memandu kereta sambil memeluk anak berusia sembilan bulan bersama makanan yang ditempah pelanggan.

Memetik laporan Mstar, Asma Amir, 24, akui berasa sedih apabila pembatalan dibuat setelah makanan yang ditempah siap sekali gus terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM250 ketika itu.

“Saya jual makanan ni masak di rumah je. Saya belum mampu buka kedai makan sendiri. Saya siapkan tempahan sendiri, bermula sediakan bahan sampai siap masak tak minta bantuan siapa-siapa pun. Kemudian saya bungkus dan hantar ke alamat customer.”

“Masa hari kejadian dalam video tu, saya tengah COD (Cash On Delivery) dekat seorang customer ni. Dia order lebih 20 bekas Tom Yam Kung daripada saya. Saya pun bila dah siapkan order tu, saya drive kereta sendiri hantar dengan bawa anak-anak ikut sekali.”

“Bila sampai dekat lokasi customer tu bagi, dia dah tak respon. Saya call banyak kali juga. Saya WhatsApp pun dia tak balas. Saya tunggu lebih setengah jam di luar rumah dia sebelum saya putus asa dan balik rumah,” jelasnya yang mesra disapa Asma.”

Bercerita lanjut, dia terpaksa memberikan makanan tersebut secara percuma kepada jiran dan kenalannya.

“Sebenarnya kalau order banyak macam ni saya nak ambil deposit dulu tapi ada sesetengah customer memang cakap nak bayar penuh masa COD jadi saya percaya saja. Tak sangka bila buat macam ni, saya pula yang kena balik.”

“Saya nak ke bandar hantar tempahan agak jauh, sebab tak boleh tinggalkan anak-anak di rumah. Nak minta tolong suami jaga, dia kerja di bengkel. Jadi, nak tak nak, saya kena bawa semua anak.”

“Susah juga nak bahagi masa uruskan rumah tangga sambil buat bisnes makanan. Bila customer buat macam ni, terkilan betul saya rasa. Tapi bila customer cancel tu, saya offer dekat orang lain mana tahu ada yang nak beli.”

“Tapi selalunya kalau jadi macam ni, saya bagi dekat orang lain makan. Lagipun makanan macam ni tak boleh simpan nanti basi. Saya anggap saja semua tu rezeki orang lain,” ujarnya.

Asma juga menjelaskan bahawa pergerakkannya juga kini terbatas dek kerana sedang hamil 7 bulan malah dan dalam masa yang sama wanita berdarah kacukan Thailand ini juga memaklumkan menu terbaharu yang ditawarkan kepada pelanggannya adalah tom yam kung itu yang sememangnya popular sebagai makanan yang berasal dari jiran ini.

“Dulu saya kerja kedai makan dengan mak di Ajil. Lebih kurang 11 tahun juga saya dalam bidang masakan. Lepas dua tahun kahwin, saya mengandung anak pertama. Bila dah tak larat nak pergi kerja saya jadi suri rumah saja.”



“Saya mula berniaga dari rumah sejak 2016. Saya jual mi celup lepas habis pantang anak pertama yang sekarang ni dah berumur enam tahun. Sekarang saya ada jual macam-macam makanan Thai termasuk menu ready made.”

“Alhamdulillah ringan juga beban keluarga sejak berniaga di rumah ni. Sedikit sebanyak boleh juga bantu suami saya cari rezeki.”

“Sampai sekarang saya cuma buat jualan online dan ambil tempahan makanan saja. Sekarang pun sakit badan sejak dah sarat tujuh bulan ni. Saya fokus hantar makanan dekat kawasan saya mampu pergi saja,” jelasnya lagi.”

Video yang tular di laman TikTok:

@asma_mekthai29 #tomyamviral #terengganu #fypシ ♬ bunyi asal – ℎ –

“Saya post video tu sebab sedih bila kena macam tu. Saya cuma nak luahkan saja dan beri peringatan kepada semua orang.”

“Banyak komen bagi kata semangat dekat saya. Terharu juga sampai ada yang luar daripada Terengganu pun tanya di mana saya jual dia nak datang beli,” ujar Asma.