Ibu Kandung & Bapa Tiri Amir Berdepan Hukuman Mati

Beberapa minggu lepas, media melaporkan mengenai penemuan seorang kanak-kanak dikenali sebagai Zubaidi Amir Qusyairi, yang ditemui meninggal dunia akibat lemas di dalam sebuah tong air.

Dalam siasatan awal, mangsa dipercayai telah didera oleh ibu kandung dan bapanya tirinya sendiri sebelum kejadian itu berlaku.

Malah, beberapa kesan kecederaan yang ditemui pada anggota badan mangsa menguatkan lagi teori tersebut.

Terbaru, menerusi laporan Berita Harian, tertuduh yang dikenali sebagai Mohd Fadzli Abdull Razak, 38, dan Zuraida Atan, 32, telah didakwa di dua mahkamah berasingan atas dua pertuduhan membunuh dan mendera mangsa (Zubaidi Amir Qusyairi).

Difahamkan, kedua-dua tertuduh tidak mengaku bersalah sejurus pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Pertuduhan tersebut dibuat kerana suspek berdua telah didakwa melakukan jenayah bunuh sehingga menyebabkan kanak-kanak itu meninggal dunia.

Sabit kesalahan mengikut seksyen itu, tertuduh yang juga ibu kandung dan bapa tiri mangsa boleh dihukum mati.

Tidak berakhir di situ, pasangan suami isteri ini juga berdepan dengan pertuduhan mendera mangsa sama dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Dakwaan itu dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Walau bagaimanapun, mereka berdua sama sekali tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Kes ini akan disebut semula pada 29 Mac depan, dan pasangan ini tidak sama sekali dibenarkan sebarang jamin sementara menanti laporan bedah siasat.

Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki itu ditemui meninggal dunia dalam dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter oleh suspek lelaki yang juga bapa tirinya di Taman Krubong Jaya.

Pasangan suami isteri itu kemudiannya ditahan reman sejak 30 Januari lalu sehingga Khamis ini.

Dalam pada itu, kes ini turut mendapat perhatian rakyat Malaysia yang rata-rata turut bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa.