“Henti cakap saya kembar Mira Filzah” Juara Dewi Remaja 2022 Mahu Bina Nama Sendiri

Terdahulu, program percarian bakat remaja wanita ini telah menerima kritikan warganet di media sosial mengenai paras rupa mereka kerana tidak setanding dengan peserta-peserta tahun lalu. Susulan isu tersebut, salah seorang peserta dewi remaja yang tampil mewakili finalis lain, Tracie Sinidol mengatakan mereka memilih untuk terus fokus dengan pencarian Dewi Remaja 2022 hingga ke malam kemuncaknya.

Pun begitu, pencarian Dewi Remaja 2022 telah melabuhkan tirainya dengan Tracie Sinidol yang dinobatkan sebagai pemenang sekaligus membawa gelaran Juara Dewi Remaja 2022. Sebelum ini, Tracie Sinidol pernah tular apabila raut wajahnya dikaitkan dengan beberapa selebriti popular termasuklah Mira Filzah, Diana Danielle dan Angelababy.

Memetik laporan Kosmo, anak kelahiran Sabah ini mengatakan dia tidak menyangka penyertaanya dalam program dewi remaja telah memberikan sinar baharu dalam kehidupannya dan membuka peluang kepada dirinya untuk menerokai industri seni.

“Sabah kaya dengan bakat tapi sayangnya kami tiada peluang untuk kembangkannya kerana banyak faktor. Paling ketara adalah dialek…Jadi sekarang usaha saya memang untuk memperbaiki dialek Sabah dengan belajar bahasa baku menerusi tontonan filem, drama serta lagu selain pembawaan diri di hadapan orang ramai,” katanya


Tambahnya lagi, dia menjelaskan mahu menyerlahkan identiti dirinya sendiri dan nama Tracie Sinidol. Bukan kerana tidak suka dengan kenyataan tersebut namun dia mahu membina kariernya sendiri dan bukan atas menumpang populariti dengan gelaran kembar Mira Filzah.

“Terima kasih atas kemenangan ini, saya dah cipta gelaran baharu. Henti cakap saya kembar Mira Filzah. Sekarang saya berdiri dengan gelaran sendiri, Tracie Juara Dewi Remaja 2022…”

“Bukan tak suka dikaitkan, saya tak nafikan ada kelebihan apabila orang gelar saya kembar Mira, contohnya diberi tawaran kerja. Tetapi saya tak nak nama tenggelam dan orang ingat saya kerana Mira. Saya perlu ada identiti sendiri” ujarnya.

Sekadar info, Tracie Sinidol gadis peranakan Murut dan Dusun ini pernah dinobatkan sebagai juara pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau Tambunan dengan bakatnya dalam bidang lakonan, dia telah menimba pengalaman menerusi projek telemovie Malaysiaku 16 September dan Budak Pasar arahan Dato Jury Rosli.