[VIDEO] Helikopter Dari KL Datang Ambil 36 Bungkus Nasi Ganja di Ipoh, Polis Buka Kertas Siasatan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kertas siasatan mengenai sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh di sini, semalam.

Helikopter mendarat ambil pesanan 36 bungkus nasi ganja 

Memetik laporan Harian Metro, helikopter tersebut mendarat untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja.

Kertas siasatan dibuka kerana isu berkenaan didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) larangan merentas daerah serta negeri.

Siasatan dilakukan kepada individu serta syarikat pemilik helikopter

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan terhadap individu serta syarikat pemilik helikopter terbabit.

Siasatan akan dibuat mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2020 atau Akta 342.

Kesalahan melanggar SOP larangan rentas daerah dan negeri

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kertas siasatan berkenaan isu tular helikopter dari Kuala Lumpur ambil pesanan nasi ganja di Ipoh.”

“Ini berdasarkan kesalahan melanggar SOP larangan rentas daerah dan negeri terhadap individu dan syarikat berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh 

Terdahulu, Mior Faridalathrash berkata, pihaknya mengesahkan sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh antara jam 9.55 hingga 10.15 pagi tadi.

Maklumat sudah disalurkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh bagi siasatan lanjut.

Helikopter itu tidak dapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh

“Selepas membuat semakan dengan pihak CAAM Ipoh, helikopter berkenaan didapati hanya mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh namun tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial helikopter berkenaan mendarat di Padang Ipoh semata-mata untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja dari sebuah restoran nasi kandar terkemuka di Bandaraya Ipoh.

Penerbangan itu dari Kuala Lumpur

Kehadiran helikopter berkenaan yang dinaiki dua lelaki dikatakan membuat penerbangan dari Kuala Lumpur.

Selain itu, helikopter itu dipercayai milik syarikat swasta yang mengejutkan orang ramai sebaik apabila didapati terbang rendah sebelum mendarat di padang terbabit sekitar jam 9.55 pagi.

Sementara itu menerusi perkongsian Media Mulia TV sempat berkongsi video helikopter itu sedang mendarat di Padang Ipoh.

Menteri Kewangan nafi beliau buat tempahan nasi kandar guna helikopter

Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan beliau adalah individu yang membuat tempahan nasi kandar yang lebih dikenali sebagai nasi ganja dari sebuah restoran terkenal di Ipoh, Perak menggunakan helikopter seperti yang tular di media sosial semalam.

Menurut Tengku Zafrul, dia menerima satu mesej di WhatsApp yang tular menyatakan beliau menempah nasi ganja tersebut.

Kononnya saya tempah nasi ganja dari Ipoh 

Malah, sebuah foto lama beliau yang sedang menikmati hidangan enak itu turut disebarkan.

“Lucu bila terima mesej WhatsApp yang dihantar, kononnya saya tempah nasi ganja dari Ipoh guna helikopter.”

Mereka guna gambar lama saya 

“Mereka guna gambar lama saya makan nasi berkenaan pada Disember tahun lalu, tapi dipotong bahagian tarikh.”

“Saya sebenarnya dah lama tak makan nasi vanggey, tapi daripada tempah guna helikopter, baik guna khidmat penghantaran.

“Ada banyak jenis macam Nasi Kandaq Transporter, Nasi Kandar Runner dan lain-lain, boleh juga bantu usahawan kecil,” kata beliau melalui satu hantaran di Facebook sebentar tadi.

 


Beliau turut memuat naik foto sebenar ketika sedang menikmati nasi ganja tersebut dan jelas tertera tarikh 16 Disember 2020.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut memberikan pelbagai reaksi mengenai perkara tersebut.