Hanya RM30,000 Sehala, Orang Kelantan Paling Ramai Sewa Helikopter Untuk Balik Raya

Perjalanan balik ke kampung bagi setiap kali cuti perayaan pastinya meriah terutama bagi negeri pantai timur dan utara.

Namun bagi yang berkemampuan, tidak salah rasanya dapat menjimatkan masa dengan menyewa sendiri helikopter untuk pulang ke kampung.

Dengan lebih 20 buah helikopter disediakan, anda boleh menaiki helikopter untuk pulang ke kampung halaman dengan bergaya.

Menurut pemilik syarikat pengurusan, Hazmi Dimasyq Group, perkhidmatan di musim perayaan ini adalah kali pertama diperkenalkan.

Syarikatnya itu menyediakan perkhidmatan heli dan jet peribadi yang kebiasaannya menjadi pilihan ahli perniagaan.

Walaupun baru pertama kali diperkenalkan, mereka sudah menerima 11 tempahan di mana yang paling tinggi adalah tempahan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

Harga bagi penerbangan untuk ke Kelantan adalah RM30,000 sehala.

Beliau yang juga merupakan anak kelahiran Gua Musang, Kelantan tidak menyangka perkhidmatan ini mendapat permintaan tinggi terutamanya di kalangan ahli perniagaan.

“Kita menyediakan lebih 20 buah helikopter untuk musim raya ini manakala penerbangan hari biasa melibatkan enam buah sahaja,” katanya.

Syarikatnya menyediakan dua jenis helikopter iaitu muatan tiga orang dan enam  orang penumpang.

Bagi penerbangan enam penumpang, harganya mencecah RM17,000 untuk satu jam dan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu memakan masa tiga jam.

Beliau juga mengatakan akan meneruskan perkhidmatan ini untuk musim-musim perayaan seterusnya.