Bil Elektrik Naik, TNB Akan Dikenakan Penalti – Menteri

Beberapa minggu lepas heboh di media sosial apabila bile elektrik bagi kediaman di semenanjung dikatakan naik mendadak.

Ramai pengguna yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap isu ini ekoran penggunaan yang sama tetapi bil melambung.

Susulan daripada itu, pihak TNB sendiri telah membuat sidang media berkenaan isu ini dan beberapa langkah penyelesaian telah dilaksanakan.

Walaubagaimanapun, menurut Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, Suruhanjaya Tenaga sedang menyenaraikan jumlah kesalahan TNB sebelum mengumumkan penalti yang bakal dikenakan, lapor Harian Metro.

“TNB melakukan kesalahan dan apa yang berlaku sebelum ini [kenaikan bil] disebabkan masalah teknikal syarikat berkenaan.

“Mereka sudah selesaikan 50 peratus aduan sebelum hari raya, namun saya masih menunggu kemas kini keseluruhan aduan yang sudah selesai.

“Memang mereka [TNB] ada lakukan kesalahan mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990 dan akan dikenakan penalti oleh ST.

“Ada dua pilihan sama ada dikenakan tindakan mahkamah atau penalti. Tetapi penalti lebih senang,” katanya.

Menurut Yeo Bee Yin lagi, sebanyak 50 peratus aduan telah diselesaikan sebelum perayaan Aidilfitri tempoh hari.

Namun begitu Suruhanjaya Tenaga tetap akan mengenakan penalti terhadap TNB berhubung kesalahan yang dilakukan.

Bagi pengguna yang masih menghadapi masalah kenaikan bil elektrik, anda boleh terus melaporkan isu tersebut di kedai Tenaga berhampiran kawasan anda.