“Hanya keluar tengah malam untuk makan,” Setahun Terperap Dalam Bilik, Pelajar Tangguh SPM

Seorang pelajar tingkatan lima terpaksa menangguhkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya diduduki Isnin lalu berikutan masalah kemurunngan dihidapinya sejak hampir setahun lalu.

Menerusi laporan Harian Metro, Haryani Mat Hussin, 42, berkata, anak kedua daripada sembilan beradik, Wan Nor Ikhtysam Wan Hassan Basri, 18, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Aman, Pasir Puteh mengalami masalah kesihatan terbabit sehingga tidak mengizinkannya menduduki peperiksaan SPM.

Menurutnya, pada Mac tahun lalu, Wan Nor Ikhtysam tiba-tiba berkurung di dalam bilik selain enggan berjumpa dengan sesiapa, malah hanya keluar makan pada tengah malam saja.

Rutin itu pula berterusan hingga kini.

“Bimbang dengan keadaan Wan Nor Ikhtysam yang semakin hari semakin menjauhkan diri daripada kami sekeluarga, saya dan suami memujuknya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada November tahun lalu sebelum dia dirujuk kepada pakar psikiatri.

“Bagaimanapun, keadaan Wan Nor Ikhtysam tidak banyak berubah. Dia juga enggan makan ubat yang dibekalkan hospital kerana menganggap dirinya tidak sakit,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Guchil Bayam di Kota Bharu, semalam.

Tambah Haryani lagi, anaknya itu sepatutnya mendapatkan rawatan susulan di HUSM Kubang Kerian bergantung kepada tahap kesihatannya namun Wan Nor Ikhtysam enggan meneruskan rawatan psikiatri meskipun dipujuk.

“Selepas kematian suami pertama, saya sekali lagi mendirikan rumah tangga namun perkahwinan kedua tidak bertahan lama dan beberapa tahun kemudian saya bertemu jodoh dengan suami ketiga, Mohd Tarmizi Mustapa, 53, yang kini mengalami masalah kesihatan dan tidak boleh melakukan kerja berat.

“Walaupun saya mendapat bantuan bulanan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ia tidak mencukupi untuk menyara kehidupan kami sekeluarga.

“Bagi menampung hidup, saya dan suami menjual karipap mini dan popia dengan pendapatan RM300 hingga RM400 sebulan,” katanya.

Menurutnya, ada kemungkinan kemurungan dialami Wan Nor Ikhtysam itu disebabkan kesusahan keluarga.

“Saya sentiasa memberi kata semangat kepada Wan Nor Ikhtysam selain berdoa supaya dia segera sembuh.

“Saya juga berdoa supaya Wan Nor Ikhtysam dapat menduduki peperiksaan SPM semula demi masa depannya,” katanya.