[VIDEO] Hanya 4 Tahun ‘Dipinjamkan’ Pasangan Yang Baik, Isteri Redha Suami ‘Pergi’ Dengan Mudah

Kehilangan insan tersayang tanpa diduga bukanlah mudah. Ia memerlukan seluruh kekuatan yang tinggal untuk bangkit dan meneruskan kehidupan.

Tiada lagi senyum tawa mereka, tiada lagi sokongan dan doa yang mengiringi langkah kita setiap hari yang tinggal hanya kenangan indah yang kemas disimpan di hati.

Begitulah juga situasi yang dihadapi oleh seorang wanita ini yang mengabadikan tangga 27 Disember sebagai tarikh yang tidak akan dilupakan seumur hidupnya.

Tidak menyangka suami akan pergi terlalu awal

Pada tarikh itulah, suami kesayangan, Mohamad Tarmidzi menghembuskan nafas terakhir meninggalkan dirinya bersama seorang anak lelaki yang masih kecil.

Setelah empat tahun melayari kehidupan berumah tangga, namun siapa sangka lelaki yang dikenali sejak enam tahun lalu pergi lebih awal kerana dijemput Ilahi.

Ketabahan besarkan anak sendirian buat netizen tersentuh

Menerusi perkongsian beberapa video di aplikasi TikTok, Nurul Nadia turut berkongsi kenangan bersama Allahyarham.

Ketabahannya membesarkan anak tunggal, Mohamad Tasnif Naim yang berusia dua tahun setengah cukup membuatkan netizen tersentuh hati.

Arwah suami sudah beri tanda sebelum dia pergi

Menerusi laporan mStar, wanita yang dikenali sebagai Nadia itu berkata, sungguhpun peristiwa duka itu telah lebih setahun berlalu, namun segala-galanya masih dapat diingati dengan jelas.

“Saya kira arwah suami dah mula bagi ‘hint’ tiga bulan sebelum dia pergi. Arwah ada penyakit kencing manis dan selepas kami dapat anak, masalah kesihatannya sedikit ketara.”

Suami pesan jaga anak elok-elok kalau dia tiada

“Tiga bulan sebelum meninggal dunia, dia rajin ajak saya bersembang dan pillow talk. Dia kata Tasnif adalah harta yang dia tinggalkan untuk saya.”

“Kemudian dia pesan jaga anak elok-elok kalau dia tak ada. Saya marahlah sebab dia cakap bukan-bukan,” kata wanita berusia 25 tahun ini.

Arwah sekali lagi berkelakuan sedikit aneh

Kongsi Nadia lagi, ketika mereka sekeluarga sempat meluangkan masa pulang ke kampung sebelah suaminya di Johor, dia sekali lagi berkelakuan sedikit aneh.

“Memang dia happy sangat dapat balik kampung. Kebetulan rezeki kami, abang ipar hadiahkan pakej penginapan.”

Dia minta saya ambil gambarnya merenung langit

“Ada sekali tu, dia request minta saya tangkap gambar dia seorang sambil merenung langit. Saya ikutkan saja.”

“Selepas habis bercuti di Johor, saya diserang demam panas. Sebaik sahaja saya sihat, anak pula diserang demam.”

“Dua hari sebelum meninggal, dia minta saya hantarnya ke tempat kerja.”

Minta bungkuskan mihun dan ubah fikiran nak nasi lemak pula

“Saya sempat singgah beli sarapan. Dia minta bungkus mihun. Bila saya beri padanya, tiba-tiba dia ubah fikiran nak nasi lemak pula.”

“Saya dan ibu saling berpandangan sebab pelik tapi tak fikir yang bukan-bukan,” katanya yang menetap di Kuantan, Pahang.

Sehari sebelum pergi suami tanya saya teringin apa

Sehari sebelum meninggal dunia, menurut Nadia, suaminya mengadu kurang sihat namun sempat membelikannya barang yang sekian lama menjadi idamannya.

“Dia pegang tangan saya dan tanya saya teringin nak beli apa. Saya beritahu dah lama teringin beli beg make-up jurusolek terkenal, Datuk Alha sebab saya jurusolek sambilan.”

Dia beritahu lega dapat belikan sesuatu untuk ditinggalkan kepada saya

“Dia beritahu, dia lega dapat belikan sesuatu untuk ditinggalkan kepada saya. Dia juga lega sebab saya ada kemahiran dan boleh berdikari,” cerita Nadia.

Pada pagi tanggal 27 Disember, Nadia berkata suaminya meminta agar dia mengambil cuti dan menemaninya pergi ke hospital untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.


Mata terpejam tapi mulutnya senyum

“Masa saya nak bersiap-siap, dia kata nak baring kejap. Ibu pun ada di rumah waktu tu. Tapi belum sempat bersiap, saya nampak keadaannya pelik.”

“Saya panggil, dia masih menyahut perlahan, mata terpejam tapi mulutnya seperti senyum.”

Saya ingat dia bergurau

“Ingat dia bergurau. Saya panggil lagi, macam tu juga keadaanya. Saya blur, panggil ibu dan ajarnya mengucap.”

“Tangannya dan mula sejuk. Saya berlari keluar panggil jiran. Jiran tolong buat CPR sementara ambulans sampai.”

Suami tidak dapat diselamatkan

“Tapi tiada respon. Dia dikejarkan ke bahagian kecemasan dan tak lama lepas tu, doktor sahkan suami tak dapat diselamatkan.”

Rasa sedih teramat lagi. Tapi saya reda, meninggalnya sangat mudah, pagi Jumaat pula,” katanya lagi.

Seorang suami yang terlalu baik

Menurut Nadia, arwah suaminya meninggal kerana serangan jantung, implikasi daripada penyakit kencing manis yang dihidapinya.

Selama enam tahun mengenali hati budi masing-masing, Nadia menyifatkan arwah suaminya sebagai seorang lelaki yang terlalu baik.

Allah gantikan seseorang yang mirip dia

“Arwah sangat penyabar, tak kedekut, tak suka berkata buruk tentang orang lain. Saya bertuah kerana dipinjamkan lelaki sebaik dia.”

“Walaupun Allah ambil dia, namun gantikan dengan seseorang yang mirip dia.”

Muka dan perangai Tasnif seperti daddy dia

“Muka dan perangai Tasnif, sebiji macam daddy dia. Dialah kekuatan saya. Saya akan pegang amanah arwah untuk jaga anak kami elok-elok.”

“Saya tak sangka pun video dekat TikTok tu viral. Saya sekadar nak luahkan rasa rindu pada arwah.”

“Terharu sangat bila dapat komen-komen positif malah ada yang mendoakan arwah. Terima kasih sangat.”

@nurulnadia6678Semoga anak mummy terus kuat 🥲🥲🥲 Sama sama rindu arwah daddy 🥲🥲🥲 Al-Fatihah(dibaca) ##esekelinakfyp ##fyp like kalau sudi 🥺♬ Rindu setengah mati cover by ramadanramli – 🅰️dan

Hargailah insan tersayang sebelum kehilangannya

“Mungkin ada yang sama macam saya, terasa perit apabila kehilangan orang tersayang.”

“Tapi saya bersyukur sangat dikelilingi orang yang baik. Apa yang boleh saya kongsikan, hargailah insan tersayang sebelum kehilangannya,” katanya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut sebak dengan perkongsian Nurul Nadia itu dan menitipkan semangat semoga dia terus diberikan kekuatan dan bahagia bersama anak mereka.