“Siap tak mengaku lagi tu,” Gelang Rasa Ketat Selepas ‘Dibaiki’, Wanita Ini Berang Ditipu Tauke Kedai Emas

Sejak akhir-akhir ini, sudah menjadi trend dalam kalangan netizen untuk membeli emas terutamanya golongan wanita.

Emas yang dibeli bukan sahaja dapat dijadikan sebagai aksesori malahan dapat dijadikan sebagai pelaburan pada masa akan datang berikutan harga emas yang meningkat saban hari.

Namun begitu, seperti perkongsian seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Ikafariha Fariha, mendakwa dirinya telah ditipu oleh sebuah kedai emas ketika dia menghantar gelang tangannya untuk dipotong.

Kisahnya bermula apabila wanita ini, menghantar gelang tangannya ke kedai emas untuk dipotong berikutan keadaan emas tersebut yang terkopek dan kemek berikutan satu insiden semasa kenduri.

“Gelang memang labuh sikit. Hari selasa pagi, hantar pergi kedai. Suruh diorang kerat 2 ketul bahagian yang cacat tu.

“Sebelum tu memang aku dah kira gelung dan ambik gambar siap-siap kot ada yang menipu nanti kan.”

Jelasnya lagi, pemilik kedai emas berkenaan memintanya untuk mengambil pada petang hari berkenaan namun, berikutan beberapa masalah yang dihadapinya proses pengambilan gelang tersebut tergendala.

“Hari Khamis aku pergi ambil, balik rumah baru aku try. Rasa ketat gelang aku ni. Tak sedap hati dah, kira-kira tidak cukup gelung. 10 kali aku kira sorang-sorang.”

Bercerita lebih lanjut, pemilik kedai pada mulanya berdolak dalih dan sama sekali tidak mengaku sudah mengambil lebihan emas yang dipotong itu.

Berang dengan apa yang terjadi, wanita ini turut meninggikan suara kepada pemilik kedai emas itu berikutan tindakannya yang tidak bertanggungjawab itu.

“Pada masa yang sama, dia turut menunjukkan bukti yang jelas menerusi foto yang ditangkap gambar emasnya sebelum dan selepas dihantar ke kedai itu.

“Memang diorang cakap diorang je betul ceritanya. Mati-mati mengaku kerat dua ketul sahaja.

“Suara aku dah mula naik dah. Pandai tegur aku, hang jangan marah, mari kita bincang.

“Aku tunjuk suruh diorang kira balik, aku tunjuk sekali time aku ambil gambar kan ada set time pukul 9 pagi dekat gambar sebelum hantar ke kedai dia.

“Last-last diorang terpaksa bagi balik seketul coco aku. Buat-buat berlakon cari, memang ada lah ceritanya.”

BACA: Ini Senarai 30 Jenis Dan Nama Gelang Emas Yang Mungkin Encik Suami Belum Tahu

Kejadian seumpama ini membuatkan dia berasa menyesal dan tidak lagi mahu menggunakan servis yang ditawarkan oleh kedai tersebut.

“Memang aku tak akan masuk dah kedai emas tu. Kaki penipu.”

Rata-rata netizen bersimpati dengan apa yang terjadi kepada wanita ini dan mengharapkan agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya supaya ianya tidak berulang lagi.