Gagal Hadirkan Diri Sebutan Kes, Mahkamah Keluarkan Waran Tangkap Muhammad Sajjad

Gara-gara gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kes hari ini tanpa sebarang sebab, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam telah mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat.

Menerusi laporan Bernama, waran tangkap itu dikeluarkan oleh Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shaii.

Peguam syarie Zuri Zaibuddin Budiman yang mewakili usahawan itu mengesahkan perkara berkenaan dan berkata kes ditangguh ke 1 Jun depan.

“Saya pun tunggu dia datang, tetapi tiada. Dia diwajibkan hadir pada tarikh baharu,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan mahkamah hari ini.

Selain Zuri Zabuddin, usahawan kontroversi itu turut diwakili peguam syarie Ahmad Nazib Johari, Noor Azlina Che Hassan dan Amirah Zainal.

Pada 6 Jan lalu, Muhammad Sajjad, 36, dituduh berpakaian seperti wanita dalam satu majlis bacaan Yasin dan solat hajat sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina di pusat kecantikan miliknya di Seksyen 16, Shah Alam, pada 7.30 malam, 23 Feb 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan jadual asal, Muhammad Sajjad sepatutnya menghadapi sebutan semula kes tersebut pada 9 pagi tadi, namun hingga prosiding berakhir, kelibatnya tidak kelihatan.