Gadis Ini Dedah Mengapa Jemaah Malaysia Tak Digalakkan Beri RM1 Kepada Cleaner di Mekah

Menjejakkan kaki ke tanah suci untuk mengerjakan ibadah haji merupakan impian semua umat Islam.

Selain ianya merupakan rukun Islam yang ke-5, pengalaman beribadah di sana juga berbeza berbanding di negara sendiri.

Selain dapat mendekatkan diri dengan Yang Maha Esa, kita juga dapat belajar dan melihat keindahan negara dan budaya orang-orang di sana.

Buat yang masih belum berkesempatan, mesti selalu dengar cerita daripada orang lain. Bagi yang sudah pernah sampai pula, pastinya nak pergi lagi kerana rasa nikmatnya beribadah di sana.

Baru-baru ini seorang gadis yang menggunakan nama Nota Perempuan Backpacker di Facebook telah berasa terpanggil untuk menceritakan mengapa amalan memberi sedekah kepada cleaner di sana tidak digalakkan buat masa sekarang selepas terbaca ada individu menyarankan menggunakan duit RM1 untuk bersedekah di Makkah atau Madinah.

Walaupun niatnya baik, gadis tersebut menekankan bahawa orang Malaysia harus faham dengan keadaan nilai matawang sekarang.

Oleh kerana agak tidak bersetuju membaca posting yang dibuat individu tersebut, gadis yang baru pulang dari sana pada Disember 2021 lalu menceritakan serba sedikit berkenaan matawang dan sedekah di Tanah Haram.

MATAWANG MYR VS SAR

1. Nilai matawang Malaysia yakni MYR (Malaysian Ringgit) pada hari ini, lebih rendah daripada nilai matawang Saudi yakni SAR (Saudi Arabian Riyal).

Seringgit kita hari ini dalam 70 ke 80 sen riyal sahaja. Maknanya, kalau kau beri sekeping duit biru RM1 tu kepada jurubersih Masjidil Haram, dia hanya dapat nilai 70 sen duit dia sahaja untuk dibelanjakan.

2. Kebanyakan money changer @ pengurup wang dalam dunia ni TIDAK MENERIMA wang kecil. Minimum duit MYR yang diterima untuk ditukar di luar Malaysia ialah RM50 sekeping.

Jarang-jarang ada yang terima RM20 dan RM10 sekeping. Perlu faham yang pengurup wang adalah peniaga matawang, dan mereka pun tak mahu rugi disebabkan pertukaran wang bernilai kecil.

3. Betul, kalau ramai yang beri sedekah RM1 kepada para jurubersih masjid, mereka boleh kumpul sampai banyak dan pergi tukar di pengurup wang.

Cuma, perlu faham yang ini BUKAN isu jumlah banyak. Ini isu (1) nilai duit kita rendah dan (2) money changer tak suka duit kecil.

4. Kalau dulu, zaman Malaysia makmur, pemimpin kalau main rasuah pun tak sampai menyesakkan hidup rakyat, ya, duit kita pernah tinggi dan pernah sekali seingat aku, sama nilai dengan SAR.

Memang jurubersih happy dapat duit bernilai tinggi. Tapi sekarang, tahun 2022, politik pening, dan berwabak pula, keadaan dah jauh berbeza.

Ustaz-ustaz dan para jemaah perlu terima dan telan dan hadam hakikat ini dan move on daripada masa silam.

Ya, jurubersih memang senyum sebab mereka tak terus tengok duit yang kita hulur ke tangan mereka.

Tapi selepas mereka tengok, selepas kita berlalu, reaksi wajah dan apa dalam hati mereka kita takkan tahu.

Boleh baca ulasan Ustaz Abu Iman tentang realiti sedekah MYR ini: https://www.facebook.com/abuamiruliman/posts/2843478712620209

BAGAIMANA NAK MUDAH BERSEDEKAH DI TANAH SUCI DAN MEMUDAHKAN URUSAN PENERIMA SEDEKAH SEKALI GUS?

1. Biasanya apabila kita tukar MYR kepada SAR di Malaysia, kita memang akan diberikan wang besar, wang besar. Kenapa? Rujuk semula point #2 di atas.

2. “Alamak, dapat duit besarlah pulak. Macam mana nak bersedekah ni? Takkan nak beri sekeping 100 riyal?”

Mudah saja.

Sampai di Makkah/Madinah, dah rehat, bersihkan diri ataupun dah setel umrah pertama, pergi kedai runcit ataupun Bin Dawood. The best is Bin Dawood sebab hypermarket biasanya akan ada baki wang yang cukup.

Belilah roti ke, biskut ke, susu ke, laban ke, buah ke. Ataupun seutas tasbih ke. Apa-apa benda yang berharga murah dan bermanfaat. Dan bayar guna duit cash besar yang kau dapat daripada money changer Malaysia tu.

Tada! Sekarang kau dah pun ada duit kecil.

Cara aku, setiap kali dapat baki duit 5 riyal dan 10 riyal, aku akan terus asingkan dalam pouch yang aku khususkan untuk duit sedekah. Aku pilih untuk tak beri duit syiling sebab nak elakkan tangan bersentuhan dengan tangan penerima. Jaga SOP.

Kalau masih tak cukup duit kecil, belilah lagi dan lagi benda-benda murah sampai kau dapat duit yang dikehendaki. Malah barang yang kau beli tu pun kau boleh sedekahkan juga kalau tak nak makan/guna sendiri.

3. Ada banyak cara bersedekah/berwakaf di sana.

3.1 Sedekah wang tunai kepada jurubersih masjid.

Ini yang paling popular dan mudah. Ini yang perlukan wang kecil. Kalau beri wang besar pun boleh juga dan of course pahalanya lebih banyak, cuma hati-hatilah. Kena jurubersih yang macam kaki fwd grup watsap, kejap je kau akan kena serbu dek geng dia haha.

Side note: Ada ramai jurubersih di sana. Kadang-kadang kita tak tahu ataupun serba salah nak beri kepada yang mana satu. Cara aku, aku doa mohon Allah hantarkan aku kepada jurubersih yang paling perlukan duit tu ketika itu. Allah adalah Guide terbaik dalam apa pun.

Dan, elakkan beri kepada peminta sedekah di luar masjid. Ada risiko lain. Cuma masa pandemik, peminta sedekah ni macam dah tak ada. Mungkin semua dah dihantar balik ke negara masing-masing kot. Entah, wallahualam.

3.2 Sedekah makanan.

Beli makanan secara pukal di restoran yang memang sediakan servis sedekah makanan. Yang ini kau tak perlu risau duit besar duit kecil. Harga makanan daripada 10 riyal sebungkus.

Kemudian kau boleh pilih, nak mereka yang bantu pergi agihkan, ataupun kau nak agihkan sendiri.

Aku pilih minta mereka yang pergi agihkan sebab makanan tu banyak dan berat. Beri upah kepada budak-budak yang mengagihkan tu. Boleh ikut mereka juga kalau rasa tak yakin. Tapi setakat ni aku yakin sebab pernah tengok sendiri depa buat kerja.

Dalam gambar ni, dua restoran yang sediakan makanan sedekah di Makkah. Di area menara jam. Boleh watsap nombor tu, sebab ada yang boleh berbahasa Melayu.

3.3 Wakaf Quran

Yang ini pun tak perlu risau duit besar sebab memang perlu duit besar. Harga Quran kulit hijau rasm Uthmani yang sama macam dalam masjid tu, yang original printed, minimum 20 riyal. Boleh pergi ke mana-mana kedai yang jual Quran di sekitar masjid, dan beritahu yang kau nak wakaf. Minta mereka cop “waqaf lil haram”.

3.4 Wakaf kerusi lipat

Ini pun samalah, tak perlukan duit kecil. Harga sebuah kerusi aku tak ingat berapa. 20-25 riyal kot? Minta pekedai tulis pada kerusi, “waqaf lil haram”.

Seperti Quran, kerusi lipat ni pun insya-Allah akan ada ramai yang guna (dan berterima kasih), maka insya-Allah kita akan dapat pahalanya berkali-kali selagi masih ada orang yang guna di Masjidil Haram/Masjid Nabawi.

3.5 Sedekah snack.

Ini biasanya dibuat pada hari Isnin, Khamis (hari puasa sunat) dan Jumaat, di dalam masjid. Snack macam kurma, kekacang, biskut, roti manis (paket kecil-kecil). Boleh beli banyak-banyak di Bin Dawood ataupun kedai runcit dan agihkan sendiri di dalam masjid semasa tunggu waktu berbuka puasa.

Ada banyak cara untuk bersedekah. Kita sehabis boleh elaklah daripada fikir nak mudahkan diri sendiri saja dengan tukar duit kecil siap-siap di Malaysia, sedangkan orang yang menerima dan akan menggunakannya di Saudi sana jadi susah.

Janganlah buat satu kebaikan dengan meninggalkan satu kebaikan yang lain. Tak betul tu. Biar caranya 100% baik lagi memberi kebaikan.

Diharapkan post ni dapat bantu idea bersedekah di Tanah Suci, dan jenis-jenis sedekah yang memudahkan penerima.

Yang akan berangkat dan yang sedang berada di sana, jaga diri baik-baik, bersedekahlah sebanyak yang mampu, moga beroleh umrah mabruran wa maqbulan, dan doakan kami di sini ya.