Frontliner KKM Lengkap Memakai Sampin Songket & Tanjak Dengan PPE ‘Sambut Hari Raya’

Di saat semua umat Islam sedang bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga dengan berpakaian baru, lain pula dengan keadaan dalam kalangan frontliners terutamanya di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut laporan Berita Harian, tahun ini petugas barisan hadapan terpaksa redha menyambutnya dengan memakai ‘pakaian raya tambahan’ iaitu sut peralatan perlindungan diri (PPE) bagi mengelak terkena jangkitan virus COVID-19.

Ibarat memakai ‘sauna bergerak’ setiap kali memakai sut PPE, itulah antara pengorbanan yang harus mereka lakukan untuk memastikan rantaian penyakit itu dapat diputuskan.

Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Putrajaya Siti Rashikin Mat Zuki, berharap orang ramai supaya mengamalkan penjarakan sosial dan terus kekal berada di rumah walaupun kita sedang menyambut Aidilfitri.

Beliau turut menyatakan rasa gembira apabila dapat bertemu dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semasa program penyerahan pek makanan kepada kira-kira 400 petugas kesihatan di Hospital Putrajaya.

Dalam pada itu, satu gambar yang dimuatnaik oleh Harian Metro menjadi tumpuan netizen di mana seorang petugas Kementerian Kesihatan Malaysia memakai sampin songket bersama tanjak dengan berpakaian lengkap alat pelindung diri (PPE) ketika melakukan sanitasi selepas membawa beberapa penghuni yang dikuarantin di Jalan Pinang, Kuala Lumpur dipercayai positif COVID19.

Rata-rata netizen terhibur dengan gelagat frontliner tersebut yang tidak melepaskan peluang untuk ‘melaram’ pada hari raya.

Namun ada juga yang tersentuh hati dengan pengorbanan mereka itu semata-mata demi keselamatan rakyat Malaysia.