Cari Hingga Dalam Rumah, Pesalah Rentas Negeri ‘Balik Raya’ Tanpa Permit Diburu Polis

Berita buruk bagi sesiapa yang berjaya meloloskan diri merentas negeri untuk ‘balik kampung’ tanpa kebenaran.

Pihak berkuasa dilaporkan mungkin akan mengunjungi kediaman individu yang lolos larangan rentas negeri pada Hari Raya nanti.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, pihak berkuasa memandang berat larangan pergerakan antara negeri, khususnya perjalanan tanpa kebenaran polis semata-mata untuk menyambut Aidilfitri.

Tambahnya lagi, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengesan individu yang disyaki melakukan kesalahan pergerakan rentas negeri tanpa permit.

“Selain daripada melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya, polis akan menjalankan pemeriksaan di kawasan perumahan dan kampung untuk mengesan mereka yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan bergerak melampaui perbatasan negeri untuk balik berhari raya.

“Bagi tujuan ini pasukan pemantau PDRM dan ATM akan meninjau rumah di taman perumahan dan kampung di seluruh negara,” katanya kepada BH Online, hari ini.

Beliau berkata, polis akan memeriksa bagi mengesan kenderaan yang tidak mempunyai permit pergerakan.

“Polis memiliki rekod butiran individu serta kenderaan mereka yang diberikan permit atau kebenaran untuk melakukan pergerakan antara negeri,” katanya.

Sebarang kesalahan pergerakan rentas negeri boleh disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967.

Terdahulu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berulang-kali menegaskan supaya orang ramai tidak melakukan sebarang pergerakan rentas negeri semasa musim perayaan ini.

Malah, beliau turut memberi peringatan kepada mereka yang sebelum ini sudah ‘lolos’ pulang ke kampung halaman tidak semestinya akan ‘terlepas’ apabila hendak kembali semula ke kediaman masing-masing.