[FOTO] Nazrief Nazri Telah Sah Menjadi Suami Kepada Seorang Model Dengan Sekali Lafaz

Nazrief Nazri, 28, antara barisan pelakon yang namanya kini semakin meningkat naik dan meniti di bibir peminat drama bersiri.

Pelakon ini dikatakan turut membintangi drama yang sedang ditayangankan iaitu Cemburu seorang perempuan yang turut dibintangi oleh Emma Maembong, Amar Bahrin dan Amyra Rosli itu.

Nazrief Nazri yang memegang watak sebagai Shah dikatakan berjaya menjiwai watak dengan baik dan berjaya membantu drama ini menjadi drama trending.

Pelakon tinggi lampai ini telah sah bergelar suami kepada model hijab Aizatul Aqma Hamdan, 25, dengan sekali lafaz di Seavoy House, Titiwangsa, jam 6.10 petang hari ini.

Pasangan sama cantik sama padan ini telah selamat dinikahkan oleh jurunikah Masjid Ibnu Sina, Titiwangsa, Saiful Hamizi.

Pada majlis berkenaan, pihak lelaki telah menyerahkan mas kahwin RM80 dan wang hantaran berjumlah RM15,000 kepada pengantin perempuan.

Selain itu juga, pihak lelaki turut menyerahkan tiga dulang hantaran dan berbalas lima daripada pihak perempuan.

Menurut pelakon yang dikenali dalam drama Makmum Yang Paling Aku Cinta itu, dia bersyukur kerana majlis pernikahannya dengan Aizatul berjalan lancar.

“Alhamdulillah, majlis pernikahan berjalan dengan lancar seperti direncanakan”. ujarnya kepada Harian Metro.

“Lebih setahun mengenali hati budi, kami juga sepakat mengakhirinya dengan perkara yang wajib iaitu pernikahan seperti dituntut agama,” katanya.

Majlis pernikahan turut dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 100 tetamu termasuk keluarga dan kenalan rapat. Nazrief dikatakan telah menghantar rombongan merisik Aizatul pada 30 Jun tahun lalu.

Tahniah dan selamat pengantin baru buat Nazrief Nazri dan pasangan. Semoga ikatan yang dibina kekal ke akhir hayat.