[FOTO] Maut Semasa Padam Kebakaran, Anak Bomba Bermain di Tepi Keranda Cetus Sebak

Jika anda mengikuti perkembangan semasa di Australia, pastinya anda tahu tentang tragedi yang menimpa bomba yang berusaha memadamkan kebakaran di sana.

Dengan keadaan api yang terlalu marak, tidak dapat digambarkan kepenatan pasukan bomba dan penyelamat yang cuba membendung kebakaran hutan.

Bahkan ada yang hilang nyawa dan terkorban demi keselamatan manusia dan haiwan lain.

Dalam satu laporan oleh The Sun, detik-detik menyentuh hati apabila melihat seorang kanak-kanak perempuan, Charlotte O’Dwyer menerima pingat perkhidmatan yang dianugerahkan kepada mendiang bapanya, Andrew O’Dwyer.

Andrew merupakan bomba yang maut semasa insiden memadam kebakaran hutan.

Ketika kejadian, trak yang dianiki Andrew dan rakannya Geoffrey Keaton telah merempuh sebatang pokok tumbang dalam sekitar kawasan kebakaran itu.

Charlotte yang memakai gaun putih dengan rambut bertocang menjadi perhatian semasa hari penyampaian pingat tersebut.

Dia dilihat bermain di sekeliling keranda bapanya seperti  belum memahami apa sebenarnya yang telah terjadi.


Baru berusia setahun, Charlotte dilihat menyentuh keranda bapanya sambil bermain-main dan memakai topi bomba milik Andrew selepas menerima pingat tersebut.

Bagi memperingati mereka yang telah terkorban, pihak pengurusan Perkhidmatan Bomba Luar Bandar telah merancang untuk membina memorial khas bagi memperingati jasa dan sumbangan kedua-dua mendiang tersebut.