[FOTO] “Kemungkinan peningkatan pesakit” 600 Katil Untuk COVID-19 Di MAEPS Serdang Jadi Pusat Kuarantin & Rawatan

Seperti yang diketahui umum, rakyat Malaysia sedang menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan yang mana setiap orang perlu berada di rumah masing-masing.

Tindakan ini  dilakukan oleh Kerajaan bagi memutuskan rantaian Covid-19 yang menyerang negara ketika ini.

Angka kes terus meningkat hari ini

Berdasarkan maklumat dari Kementerian Kesihatan Malaysia angka kes terus meningkat sebanyak 159 kes hari ini menjadikan jumlah kes setakat ini sebanyak 2320.

Menerusi satu perkongsian dari Facebook KKM sendiri, satu posting dimuat naik memaparkan lokasi baru yang sedang disiapkan untuk dijadikan pusat kuarantin bagi pesakit Covid-19.

MAEPS jadi pusat kuarantin Covid-19

Posting tersebut memaparkan Menteri Kesihatan YB Datuk Seri Dr Adham Baba sedang melihat persiapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di MAEPS hari ini.

Penyediaan pusat kuarantin dan rawatan ini adalah sebahagian daripada langkah kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menghadapi kemungkinan peningkatan jumlah pesakit COVID-19.

Pusat ini mampu memuatkan 600 katil untuk pesakit

Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 ini bakal memuatkan 600 katil keseluruhannya. Ia bertujuan menempatkan pesakit-pesakit positif COVID-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan.

Pada masa ini, bilangan katil sedia ada ialah sebanyak 5,292 iaitu 3,400 buah katil di hospital-hospital COVID-19 dan 1,892 buah katil di Institut Latihan KKM di seluruh negara.

Semoga dengan inisiatif dari kerajaan yang sedang merangka pelbagai langkah dalam menangani wabak Covid-19 ini berhasil dan negara kembali aman.