[FOTO] “Kalau abang tak kerja, siapa nak hantar makanan” Kata-kata Terakhir Kepada Ibu

“Kalau abang tak kerja, siapa nak kerja hantar makanan. Orang tengah susah nak keluar waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).”

Itulah kata-kata terakhir pekerja syarikat perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian, Allahyarham Muhammad Zaim Azman, 21, kepada ibunya, Mastura Saman, 52, sebelum terbabit dalam kemalangan di Persiaran Hamzah Alang (Taman Meru Impian), menghala ke Meru, di sini, semalam.

Kemalangan jam 9.10 pagi itu mengorbankan Muhammad Zaim selepas motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah kereta yang dipandu wanita berusia 49 tahun.

Bercerita lanjut, Mastura berkata, kali terakhir dia bertemu anak ketiga dari enam beradik itu ialah kira-kira sebulan lalu sebelum ke Setia Alam bagi menjaga menantunya yang baru lepas bersalin.

“Arwah cakap perkara itu (siapa nak hantar makanan) pada saya dengan nada bersungguh-sungguh sebelum bertolak ke tempat kerja.

“Masa itu, saya tidak bercakap banyak pada arwah kerana takut ia menjadi doa. Apa yang sempat saya pesan padanya supaya berhati-hati ketika menunggang motosikal dan menggunakan alat perlindungan ketika berurusan dengan orang ramai,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Pasir Panjang, Sekinchan, hari ini.

Menurut Mastura, dia mendapat panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.30 pagi daripada rakan Muhammad Zaim yang juga rakan sekerja arwah.

“Waktu saya mendapat perkhabaran itu, saya sangka arwah hanya cedera. Namun, apabila rakan memberitahu arwah telah tiada, lutut terasa lemah dan dunia terasa gelap seketika.

“Allah panggil dia pulang buat selamanya dalam bulan Ramadan. Sebagai ibu, saya reda dengan kententuan Ilahi walaupun sukar terima hakikat ini,” katanya yang menetap di Desa Mawar, Tanjung Karang, di sini.

Perbualan antara wartawan dan Mastura terhenti seketika apabila dia tidak dapat menahan sebak mengenang kejadian yang menimpa anak lelakinya itu.

“Sehari sebelum kejadian, saya berhajat untuk berjumpa arwah kerana hampir sebulan tidak bersua muka.

“Tetapi kuasa Allah menentukan segalanya dan dengan izin-Nya, saya dapat bertemu arwah muka ke muka meskipun sudah tidak bernyawa lagi,” katanya.

Sementara itu, bapa Allahyarham Muhammad Zaim, Azman Jaafar, 57, berkata, arwah yang baru sahaja menyambut hari kelahiran 24 April lalu disifatkan sebagai seorang yang penyayang terhadap keluarga selain menjaga barang peribadinya terutama motosikal.

“Arwah menjaga motosikal miliknya dengan cermat dan baik selain kerap menyelenggara berikutan dia sering berulang-alik menghantar makanan pelanggan.

“Kehilangan arwah amat dirasai kerana sifat peribadinya yang mendengar kata orang tua dan cepat menghulurkan bantuan sekiranya keluarga dalam kesusahan,” katanya.

Jenazah Muhammad Zaim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit 9, Sekinchan, jam 6 petang semalam.

Dalam pada itu, tular di laman sosial Facebook (FB) gambar puluhan ‘rider’ penghantar makanan menziarahi rumah keluarga Muhammad Zaim dan menemani jenazahnya sehingga ke tanah perkuburan.

Menerusi status dimuat naik seorang pengguna Facebook, dia menasihatkan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan penghantaran supaya tidak berkira dengan caj yang dikenakan dan menganggap ia sebagai sedekah kepada ‘rider’.

Rata-rata netizen melahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang menimpa Allahyarham dan mendoakan supaya rohnya ditempatkan bersama orang beriman.