Final Pertama AFF Suzuki: Malaysia Ikat Vietnam 2-2

Harimau Malaya hanya mampu mengikat Vietnam 2-2 dalam perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sebelum itu skuad Harimau Malaya ketinggalan 0-2 kepada skuad Naga Emas pada separuh masa pertama.

Walaubagaimanapun, pemain pertahanan negara Shahrul Saad berjaya membolosi gawang pihak lawan pada minit ke-36, merapatkan kedudukan kepada 1-2.

Malaysia sekali lagi memperolehi jaringan menerusi Safawi Rasid pada minit ke-60 melalui tendangan percuma pada separuh masa kedua.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu kini membawa misi wajib menang atau seri dengan tiga jaringan untuk dinobatkan juara Asia Tenggara berdasarkan format kelebihan gol di tempat lawan.

Pada perlawanan yang disaksikan lebih 80,000 penonton termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Malaysia dikejutkan dua gol pantas dalam tempoh tiga minit oleh pasukan pelawat.

Dua jaringan awal oleh Nguyen Hung Huu dan Pham Duc Huy dilihat menjanjikan kemenangan buat pelawat tetapi tandukan Shahrul Saad dan sepakan percuma Safawi Rasid memberikan sedikit harapan untuk bangkit dalam pertemuan kedua di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Sabtu ini.

Sebelum ini, Malaysia hanya meraih dua kemenangan dalam lapan pertemuan terakhir dengan pasukan bimbingan Park Hang-Seo itu sambil meraih lima kekalahan, termasuk keputusan 0-2 ketika aksi peringkat kumpulan.

Kali terakhir Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki adalah pada tahun 2010 dan kali ini nampaknya skuad kebangsaan perlu mencari gol kemenangan sebagai kelebihan di tempat lawan.

Perlawanan akhir kedua dijadualkan akan berlangsung pada Sabtu ini di Stadium My Dinh, Hanoi, Vietnam.