Edit Gambar Dr Noor Hisham Tak Pakai Seluar Ketika Live, Page Popular MGAG Mohon Maaf

Pastinya seluruh rakyat Malaysia tahu Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kini sedang menjalani kuarantin di rumah.

Ini berikutan beliau turut menghadiri mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri pada Sabtu lalu yang turut dihadiri oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif Covid-19.

Namun begitu, keadaan itu tidak menjejaskan tanggungjawabnya melaporkan perkembangan terkini semasa situasi Covid-19 kepada rakyat Malaysia melalui laman sosial.

Dan petang tadi, dapat dilihat Dr Noor Hisham melakukan sidang media itu dengan lancar tanpa kehadiran petugas media.

“Kita boleh mengadakan sidang media secara maya setiap hari dan saya tetap akan menjawab soalan daripada media,” katanya.

Walau bagaimanapun, usaha Dr Noor Hisham itu dijadikan sebagai bahan lawak oleh salah seorang pengendali laman Facebook MGAG yang menyunting gambar Dr Noor Hisham membuat siaran langsung itu di rumah dengan hanya memakai pakaian separuh badan.

Namun, foto yang mungkin dianggap lawak oleh tukang edit itu dikecam teruk oleh netizen.

Sedar banyak reaksi negatif dari netizen, pentadbir halaman MGAG kemudian segera memadamkan gambar tersebut dan tukang edit gambar itu tampil membuat permohonan maaf.

Menerusi permohonan maaf itu, Jun Yang menjelaskan dia hanya sekadar mahu menyelitkan sedikit gurauan bagi mengurangkan situasi yang dirasakannya tegang.

Walaupun permohonan maaf telah dibuat, ada segelintir netizen yang menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan kerana bagi mereka gurauan seperti itu tidak sewajarnya dilakukan lebih-lebih lagi Dr Noor Hisham merupakan frontliner yang sepanjang masa bekerja untuk rakyat.

Ramai berpendapat media sosial sepatutnya digunakan dengan baik dan tidak sesekali digunakan untuk memuat naik sebarang kandungan yang tidak bermanfaat.

Apatah lagi jika ianya boleh dikategorikan sebagai perkongsian yang menyakiti hati orang awam.