Dugaan Ramadan… Muka Tersembam, Bibir Koyak, Tangan Terseret Tanah, Wanita Cedera Teruk Dikejar Anjing Liar

Anjing di jalanan memang comel dan ada kalanya kelihatan baik dan jinak. Namun, harus diingati anjing seperti berjenis liar mampu membahayakan keselamatan seseorang.

Iospital phone repair gombak

Lagi-lagi jika anjing berkenaan dijangkiti rabies atau lebih difahami dengan penyakit anjing gila. Memang macam lipas kudung lah kita kalau dikejar tiba-tiba.

Seperti kisah yang tular baru-baru ini di Twitter oleh gadis wanita bernama Sarah di mana dirinya mengalami kecedaraan teruk selepas diserang dua ekor anjing liar.

Menurut wanita berusia 29 tahun itu, kejadian berlaku di Ampang, Selangor, pada Jumaat petang ketika sedang berjalan kaki dari tempat letak kereta ke blok kediamannya.

“Saya menetap di apartment kos rendah. Ada lot parking terbuka di kawasan depan dan belakang. Dalam bulan puasa ni, agak susah untuk dapat parking di kawasan depan sebab ramai orang balik nak berbuka.

“Jadi saya letakkan kereta di lot belakang rumah selepas pulang dari pejabat. Saya park macam biasa. Walaupun tak sedap hati, saya tetap keluar, kunci kereta dan berjalan macam biasa.

“Tiba-tiba saya nampak dua ekor anjing. Saya pandang anjing, anjing pun pandang saya. Lepas tu saya lari, anjing terus kejar. Saya lari macam orang tak cukup tanah,” katanya.

Bagaimanapun Sarah bersyukur kerana dibantu seorang individu, menghalangnya daripada digigit oleh anjing.

“Sebelum ini saya pernah kena kejar, tapi sempat masuk blok. Kali ini, jarak saya masih jauh dengan blok. Saya jatuh ketika lari, tersembam atas jalan tar.

“Selain cedera muka, kaki dan tangan, bibir saya juga koyak sampai dalam. Mujurlah saya tak kena gigit, cuma cedera akibat jatuh. Masa tu ada orang kejar balik anjing tu,” katanya.

Sarah turut ingin menyeru pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan tanggungjawab mereka agar kejadian sama tidak berulang lagi.

“Tujuan saya kongsi di Twitter untuk menyedarkan masyarakat bahawa ada anjing baik dan ada juga anjing yang perlu ditangkap kerana membahayakan orang ramai.

“Saya okay dengan anjing domestik, anjing belaan di rumah. Tapi anjing jalanan saya takut. Saya nak elak orang lain kena benda sama. Di kawasan rumah saya, adik-adik saya pernah kena kejar. Orang lain pun pernah kena kejar.

“Saya harap pihak berkuasa dapat ambil tindakan. Jangan biarkan anjing liar, takut ada kes lain lagi. Buatlah sesuatu,” katanya.

Ciapan yang tular di laman Twitter