Dua Pelajar Yatim Piatu Sebak Guru Kesayangan Sudi Ziarah di Asrama, Selama Ni Tengok Kawan2 Saja Dilawat Ibu Ayah

Bagi pelajar yang sudah kehilangan kedua ibu bapa, pasti merasakan guru-guru merekalah yang menjadi pengganti kepada dua insan terpenting dalam hidup itu.

Iospital phone repair gombak

Guru di sekolahlah tempat anak-anak ini menumpang secebis kasih sayang yang lama mereka idamkan.

Persis seperti yang tular baru-baru ini di TikTok apabila dua orang pelajar yatim piatu berlari mendapatkan guru mereka sebaik sahaja ketahui kunjungan si guru.

Menerusi video oleh @cikgupaan92, pelajar lelaki berlari mendapatkan guru kegemaran mereka dan terus sebak kerana tidak menyangka si guru akan datang menziarah di sekolah baru mereka.

“Seorang bekas pelajar saya itu berstatus yatim piatu, seorang lagi pula kematian ibu. Mereka baru masuk tingkatan satu dan menetap di asrama.

“Sewaktu mereka sekolah rendah, saya memang banyak menghabiskan masa dengan mereka lebih-lebih lagi kerana status sebagai anak yatim. Memang anggap macam anak sendiri.

“Mereka ini datang dari keluarga bukan orang senang, dibesarkan oleh nenek serta ibu saudara.

“Baru-baru ini ketika mereka mendaftar masuk ke sekolah berasrama, saya tak sempat menjenguk kerana ada urusan. Jadi sekarang ini saya tergerak nak ziarah mereka.

“Saya tak beritahu nak datang. Bila sampai asrama, saya minta seorang pelajar panggilkan mereka konon ada pelawat. Itu yang mereka berlari dan menangis. Saya pun sebak sekali,” kata Ahmad Farhan Zainudin.

Menurut Ahmad Farhan yang mengajar di SK Syed Sheh, Baling, Kedah, dalam lawatan singkat itu, dia banyak bertanyakan soal pelajaran dan kehidupan sebagai pelajar asrama kepada dua remaja berkenaan.

“Mereka cakap tak sangka cikgu datang. Dalam pada itu, mereka beritahu rindu nak ziarah kubur ibu bapa dan ibu masing-masing.

“Saya sempat juga beri kata-kata semangat dekat mereka. Bila berjauhan dengan keluarga, mesti rasa rindu lebih-lebih lagi kawan-kawan lain dilawati ibu bapa tapi mereka tak rasa itu,” katanya.

Melihat hubungan antara guru ini dengan bekas pelajarnya, pasti ada yang tertanya-tanya apakah perkara yang ada pada dirinya sehingga menjadi kesayangan murid.

“Mudah saja… saya anggap pelajar seperti anak sendiri. Sebenarnya bukan mereka berdua saja, semua murid saya layan sama rata. Tak ada beza antara kaya miskin, kelas pandai atau kelas belakang.

“Mereka ni budak kampung. Budak kampung ni lain, mereka ini sangat menghargai apa yang kita beri walaupun sekecil-kecil benda. Bagi saya, passion sebagai guru itu bukan hanya mengajar tapi rapat dengan pelajar.

“Saya banyak habiskan masa buat aktiviti dengan mereka seperti mandi sungai, beriadah, pergi perpustakaan, belanja makan dan pergi jalan-jalan. Pendek kata, hubungan akrab kami di dalam dan luar kelas,” kata penerima Anugerah Guru Mesra Murid baru-baru ini.

Tidak menyangka videonya meraih lebih 161.7 ribu jumlah tontonan, Ahmad Farhan berkata dia hanya sekadar mahu mengabadikan kenangan di laman sosial.

“Saya rakam dan upload di media sosial sebagai kenang-kenangan. Masa sunting video ni pun rasa sebak.

“Apa yang boleh saya kongsikan daripada video ini, sebagai guru, kita kena letakkan niat kerana Allah.

“Lagi satu, bila tengok kehidupan pelajar-pelajar saya ni, ia sebenarnya banyak buka mata… ia mengajar kita lebih bersyukur dan ajar kita untuk lebih memberi,” akhirinya.

Video yang tular di laman TikTok

@cikgupaan92 Cikgu datang ziarah ni 🥲 #teacher #teacherlife #school #student #fyp #fypage #foryoupage ♬ original sound – Cik Puan Gojes