Dr Noor Hisham Tampil Beri Teguran, Noh Hujan ‘Catwalk’ Sambil Buat Aksi Merokok

Tidak salah menjadi diri sendiri, tampil yakin dan ‘confident’ di khalayak ramai. Walau bagaimanapun, masih ada had yang perlu diambil kira lebih-lebih lagi mereka yang bergelar artis kerana mampu menjadi contoh kepada masyarakat terutamanya anak muda.

Menerusi laporan OhBulan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham tampil memberikan teguran kepada penyanyi Noh Hujan.

Terdahulu, heboh diperkatakan penyanyi tersebut akibat tindakannya yang mengeluarkan seputung rokok sambil ‘catwalk’ di pentas Kuala Lumpur Fashion Week 2022 (KLFW 2022) beberapa hari yang lalu.

Menurut Dr Noor Hisham, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil serius terhadap isu berkaitan selebriti yang menunjukkan tingkah laku tidak senonoh dan tidak baik lalu dipertontonkan umum seperti merokok.

Beliau turut berkongsikan pendapat beliau menerusi hantaran yang dibuat di laman Facebooknya.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius terhadap isu berkaitan artis yang menonjolkan tingkah laku seperti merokok dan menghisap vape di khalayak ramai dan di pentas persembahan.

“Perbuatan ini menunjukkan contoh yang tidak baik kepada masyarakat sekeliling terutama kepada kanak-kanak dan remaja.

“Dari sudut kesihatan, perbuatan merokok atau menghisap vape sememangnya mendatangkan kemudaratan baik kepada perokok dan orang di sekeliling mereka.” tulis beliau.

Dr Noor Hisham turut menyatakan golongan selebriti ini sepatutnya menjaga tingkah laku masing-masing.

Hal ini demikian kerana aksi-aksi yang dilakukan oleh mereka sering dipandang oleh orang awam dan secara tidak langsung mampu menjadi ikutan dalam kalangan peminat mereka.

“Sebagai seorang selebriti, tingkah laku mereka sentiasa diperhatikan oleh masyarakat dan akan menjadi ikutan. Oleh itu, sebagai selebriti mereka mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan tingkah laku yang baik yang boleh menjadi teladan kepada masyarakat.

“KKM menyeru setiap lapisan masyarakat termasuk artis dan selebriti untuk membantu usaha KKM bagi memastikan perbuatan merokok dapat dijadikan sebagai satu budaya yang tidak diterima lagi dalam kalangan masyarakat.” tegas beliau berhubung isu ini.

Pada masa yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa teguran beliau selaras dengan hasrat KKM untuk membentangkan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Rang Undang-undang ini dilakukan agar kawalan terhadap produk merokok secara menyeluruh dapat dilaksanakan bagi mengurangkan

masalah kegiatan merokok dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Hantaran laman Facebook Dr Noor Hisham: