Dr Noor Hisham Disenaraikan Antara Tiga Doktor Terbaik dan Diyakini di Dunia

Wajah sering terpapar di media sosial berkaitan isu wabak COVID-19 di Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah diletakkan dalam senarai tiga doktor terbaik dan diyakini di dunia atas usahanya menangani wabak COVID-19 di negara ini.

Pengiktirafan itu diberikan oleh sebuah stesen televisyen China, Global TV Network yang turut menyenaraikan Dr. Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Dr. Ashley Bloomfield dari New Zealand.

Ketiga-tiga mereka menerima pujian masyarakat sejak beberapa minggu ini kerana menjadi sumber maklumat paling dipercayai dan berjaya menenangkan orang ramai di negara masing-masing ketika panik melanda akibat penularan wabak berkenaan.

Berusia 56 tahun, Dr. Noor Hisham yang memegang jawatan Ketua Pengarah sejak 2013, dilabel sebagai individu paling dipercayai oleh rakyat Malaysia kerana kekerapannya mengemas kini situasi semasa berkenaan COVID-19 di platform media sosial.

Nor Hisham juga dipuji kerana sentiasa sabar menjawab apa sahaja persoalan yang diajukan wartawan semasa sidang media.

Dr. Fauci dan Dr. Bloomfield pula disifatkan sebagai individu berpengaruh di negara masing-masing apabila secara konsisten mengemas kini maklumat terbaharu, selain sering dilihat bertugas dalam tempoh masa yang lama.

Tahniah diucapkan buat Dr. Noor Hisham dan seluruh warga KKM di atas usaha yang tidak mengenal erti lelah dalam membasmi penularan wabak COVID-19 di negara kita.