“Kami tak terlibat..” Wakil Dr Fadzilah Kamsah Nafi Jalin Kerjasama Dengan Program Ebit Lew

Beberapa hari lepas, pendakwah bebas iaitu Ebit Lew telah tampil menjawab segala dakwaan berkaitan dengan pelbagai persoalan termasuk duit dana untuk ke Gaza yang telah dikutip cecah RM20juta, dakwaan bayar mahal untuk masuk ke Gaza dan sebagainya.

Di dalam penjelasan tersebut, Ebit Lew turut memaklumkan di mana beliau pernah bekerja dengan pihak Dato Fadzilah Kamsah.

Terbaru, CEO DMFK Inspirations iaitu Shaifful Bahri tampil menepis dakwaan daripada Ebit Lew itu dan mengakui tidak pernah bekerjasama dengannya sejak 11 tahun yang lalu.

Dalam video berdurasi 3:45 minit ini, Shaifful Bahri menegaskan pihak DMKF Inspirations Sdn Bhd tidak pernah terlibat atau bekerjasama mengadakan sebarang program dengan pihak Pertubuhan Kasih Umat Malaysia sejak 11 tahun yang lalu.

Dalam kenyataan itu, Shaifful Bahri meminta agar orang ramai merujuk kepada Ebit Lew sendiri jika mempunyai sebarang pertanyaan dan persoalan memandangkan mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang isu yang sedang hangat diperkatakan itu.

“Tujuan saya membuat video ini adalah untuk memberitahu kepada masyarakat di luar sana bahawa kami warga kerja DMFK Inspirations Sdn Bhd ingin memaklumkan kami tidak terlibat dengan apa-apa kerja yang dilaksanakan dengan Pertubuhan Kasih Umat Malaysia.

“Oleh itu, sebarang pertanyaan, persoalan atau penjelasan yang kalian inginkan tolong jangan hubungi kami sebab kami memang tidak terlibat.

“Memang benar saudara Ebit Lew ini memang rakan sepejabat kami dahulu. Mungkin 11 atau 12 tahun yang lepas.

“Kami memang dah lama tidak mengadakan program bersama-sama. Kami juga ingin memaklumkan kepada masyarakat yang berada di luar sana, sebarang persoalan atau pertanyaan berkaitan pertubuhan atau individu muaalaf dan sebagainya, kami mohon ampun sepuluh jari.

“Kami rasa yang terbaik kalian bertanya kepada tuan punya badan. Kami tidak mengetahui apa-apapun.”

Terdahulu, Ebit Lew menunaikan janji apabila muncul memberi pencerahan dan penjelasan terhadap tohmahan yang dilemparkan kepadanya mengenai misi kemanusiaan yang dijalankan di Gaza, Palestin baru baru ini.

Memakai jubah berwarna biru, Ebit yang muncul lebih setengah jam daripada waktu dijanjikan menerusi Live Instagram dan Facebook menegaskan terpaksa membuka mulut selepas menerima banyak hinaan sehingga menganggu anak dan isteri termasuk keluarga seperti arwah bapanya.

“Saya ulang balik ya, saya minta maaf. Ada yang gelar saya Dajal, bab*. setan, buang kupiah. Macam macamlah. Mereka gelar saya dajal. Saya terluka jugalah.

“Sampai ada yang hantar DM pada anak, isteri saya. Jadi saya dapat nasihat daripada ramai juga pihak termasuk yang akrab dengan saya, saya jawab lah persoalan semua hari ini,” kata Ebit.

Ebit kemudian menyebut dua individu yang banyak menyentuh namanya mengenai misi di Gaza iaitu rapper Caprice dan rakyat Malaysia yang menetap di sana yang juga merupakan Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al Nuri.

Menurutnya perkara pertama yang suka untuk dijelaskan adalah mengenai dakwaan terkait dana atau duit yang bawa dari Malaysia masuk ke Gaza sebagai sumbungan.

“Saya tak pernah buka Tabung Gaza. Memang tak pernah. Niat saya hanya nak tolong. Saya tak buka Tabung Gaza. Tak pernah, yang buka Tabung Gaza ini orang lain, bukan saya,” ujar Ebit.

Beliau kemudian menambah: “Ramai yang ingat saya juga bawa duit dari Malaysia. Duit Malaysia. Tak ada juga. Saya tak ada Tabung Gaza. Saya pakai duit saya sendiri semuanya. Semua duit saya.”