“Doktor akan scan di perut bimbang..” Wani Chomel Dikejarkan ke Hospital, Jangkitan Kuman Di Paru-Paru

Seorang adis yang mempunyai masalah obesiti, Wani Chomel telah dimasukkan ke Hospital Putrajaya sekitar jam 9 pagi tadi akibat kesukaran bernafas.

Menerusi laporan Gempak, Wani atau nama sebenarnya Nurul Airawani Nazira Ibrahim, 23, dibawa ke hospital selepas mengadu sesak nafas, sakit perut dan muntah teruk.

Seorang wakil Wani yang dikenali sebagai Aishah ketika dihubungi berkata, gadis tersebut kini di bawah pemantauan doktor selepas disahkan mengalami jangkitan kuman di paru-paru.

“Wani terus dikejarkan ke bahagian kecemasan sebaik tiba di hospital. Wani mengadu sakit perut sejak malam tadi dan dia mengalami muntah teruk.

“Pagi tadi dia kata sesak nafas dan kami terus bawa ke hospital. Saya teman Wani di sejak jam 9 pagi tadi dan sudah berjumpa dengan doktor yang merawat Wani.

“Beliau mengesahkan paru-paru Wani terkena jangkitan kuman. Wani akan ditahan di wad untuk rawatan lanjut dan menjalani pemeriksaan terperinci termasuk di bahagian perut.

“Doktor bimbang jika ada jangkita kuman di bahagian tersebut kerana tidak ada rawatan susulan selepas pembedahan dilakukan,” katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu Aishah memohon orang ramai mendoakan kesihatan Wani dan berharap agar gadis comel tersebut pulih seperti sediakala.

“Ibu Wani di kampung pun kurang sihat, doakan Wani ya supaya dia pulih dan sihat,” katanya.

Terdahulu Wani bersama pasukan Gempur mengadakan sidang media mendakwa dianiaya pengasas kosmetik.

Wani mendakwa berasa tertipu selepas tidak mendapat sebarang faedah dan bayaran seperti yang dijanjikan.

“Cerita asalnya saya jatuh. pada tahun 2017 masa tu saya demam. Saya bangun nak ke bilik air saya dah tak boleh bangun dah. Sejak daripada tu saya tak boleh berjalan hingga 2019.

“Lepas hari raya 2019 saya bertemu dengan wakil daripada syarikat kosmetik tu. Saya nak betulkan kat sini, bukan saya yang cari mereka, tapi mereka yang cari saya. Mereka tahu pasal saya melalui akhbar Sinar Harian.

Menurut Wani, dia telah didatangi usahawan kosmetik sekitar Ogos tahun lalu untuk melantik dirinya sebagai duta sebuah produk pelangsingan badan tetapi perlu menjalani pembedahan pada bahagian perut terlebih dahulu.

“Selepas buat pembedahan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada Ogos 2019, saya telah didatangi pihak usahawan tersebut untuk menandatangani kontrak.

“Tetapi saya tak diberitahu dengan jelas tentang kandungan kontrak tersebut,” kata Wani dalam sidang media bersama peguamnya siang tadi.

Ujarnya lagi, selepas selesai menjalani pembedahan bariatrik tersebut, segala urusan melibatkan rawatan susulan dilakukan sendiri olehnya tanpa diberikan wang pembiayaan yang dijanjikan.

“Segala rekod kesihatan selepas saya menjalani pembedahan dipegang pihak usahawan tersebut dan saya tak tahu status serta tindakan lanjut yang perlu dilakukan.

“Saya memikirkan soal keluarga kerana pihak usahawan itu telah berjanji akan membantu saya dari segi kewangan, tapi saya tak terima apa-apa bantuan pun.

“Saya cuma menerima ‘upah’ kurang daripada RM1,000 selepas terlibat dengan penghasilan kandungan video tentang produk pelangsingan badan,” katanya.

Pada sidang media itu, Wani turut memberitahu bahawa dia terpaksa membuat laporan polis demi keselamatan diri selepas didatangi wakil usahawan itu dalam keadaan marah dan telah mengoyakkan kontrak yang telah ditandatangani.

“Saya telah dimarahi hanya kerana telah menerima bantuan daripada pihak lain. Saya mengalami kemurungan disebabkan perkara tersebut selain turut dikecam dan dicaci netizen dengan tuduhan tidak berasas.

“Ada yang menggelar saya sebagai tidak kenang budi, pemalas dan hanya mengharapkan bantuan semata-mata,” katanya.

Wani yang turut ditemani peguam, Haziq Aizuddin Subhi berkata, dia ingin menuntut pampasan dan habuan yang telah dijanjikan selain ingin membatalkan kontrak yang telah ditandatangani.

Selain menuntut hak, Wani berharap pendedahan ini mampu membersihkan namanya yang dipandang sebelah mata oleh masyarakat.

Sementara itu dalam dua entri yang dimuat naik ke Instagram miliknya, Datuk Sri Aliff Syukri seperti sudah mengagak dengan apa yang berlaku di sidang media.

Menurut Aliff Syukri, dia menyimpan segala bukti sejak hari pertama dia bertemu dengan Wani.

“Alhamdulillah. Saya tunggu-tunggu juga akhirnya hari ni berlaku. Saya simpan segalanya dari hari pertama saya berjumpa beliau. Tunggu penjelasan saya Isnin nanti jam 2 petang.

“ikut hati nak jawab juga hari ni tapi tak ada persediaan dari segi masa biar anda sendiri menilai dan kami tahu siapakah punca perkara ini,” tulis Aliff.

Tambah Aliff, dia akan menjawap semua persoalan dengan segala maklumat yang ada di dalam perjanjian tersebut. Dia juga memohon supaya semua orang mendengar dari kedua-dua belah pihak.