Ditinggalkan Ibu Sejak Dilahirkan, Iman Bersama Ayah Tinggal di Pondok Kawalan

Seorang lelaki dikenali sebagai Abdul Saratim dan anaknya yang hanya dikenali sebagai Iman terpaksa tinggal di pondok kawalan dekat kilang tempat dia bekerja di Inanam, Sabah.

Menerusi laporan mStar, pondok yang kecil, sempit dan serba daif itu dihuni dua beranak ini sejak dua tahun lalu.

Kesempitan hidup mereka telah mendapat perhatian Adrian Edy Siaw Chee Hua, anak muda kelahiran Papar, Sabah yang aktif membantu golongan susah yang terkesan akibat Covid-19 di negeri itu.

Tak sangka ada yang tinggal di pondok

Pemuda berusia 24 tahun itu mengakui sebak sebaik berkunjung ke pondok kawalan yang didiami bapa dan anak berusia tiga tahun itu.

“Masa sampai saya rasa kasihan sebab tak sangka ada lagi penduduk tempatan yang masih tinggal di pondok kawalan zaman sekarang ni.

“Ruang tempat mereka tinggal tu memang kecil, sempit dan tidak teratur. Di situlah tempat masak, dekat situ jugalah mereka tidur dan jemur pakaian.

“Saya tengok tilam pun tak ada cuma ada tikar kecil, kipas pun dah patah. Mereka kata hanya tidur beralaskan tikar kecil tu,” katanya.

Minta peti sejuk

Malah menurut Edy lagi, Abdul Saratim atau lebih mesra dipanggil Pakcik Abdul minta dibelikan peti sejuk mini untuk kegunaan mereka dua beranak.

“Saya tunaikan permintaan dia kerana simpati dengan nasib mereka. Lagipun dia kata membazir makanan sebab kalau beli ikan atau ayam memang tak boleh simpan lama.

“Nak tak nak kena masak semua. Kalau tak, esok memang tak boleh makan dah sebab dah busuk. Nampaklah pakcik tu struggle dengan kehidupan dia,” katanya.

Kerja syif malam

Menurut Edy, Pakcik Abdul terpaksa bekerja syif malam sebagai pengawal keselamatan di kilang tersebut demi keselamatan anaknya yang masih kecil.

“Dia kata terpaksa kerja syif malam sebab kalau siang banyak lori keluar masuk, jadi anak dia takut. Lagipun dia risau tentang keselamatan anaknya.

“Iman memang tinggal dengan bapanya selepas ditinggalkan ibunya sebaik dilahirkan. Dalam ramai-ramai orang yang pernah saya bantu, kisah ini paling menyedihkan.

“Bila dapat bantuan tu Pakcik Abdul tak henti-henti bersyukur. Dia terharu sebab ada orang yang sudi bantu mereka selepas dua tahun hidup serba kekurangan,” katanya.

Hadiah patung dinosour

Edy turut menghadiahkan patung dinosaur kepada anak Pakcik Abdul untuk bermain.

“Yang buat saya sedih Iman suka sangat patung dinosaur yang saya belikan. Kebetulan Pakcik Abdul beritahu Iman memang dah lama nak patung tu.

“Saya tak tahu pula dia suka patung tu, saya saja bagi untuk ceriakan dia. Seronok tengok dia happy,” katanya.

Tambah Edy lagi, dua beranak itu masih mahu terus tinggal di situ kerana kekangan kewangan.

“Dia cakap nak tinggal situ dulu. Kalau ada rezeki lebih barulah nak cari rumah lain.


“Lagipun dia tengah kumpul wang untuk sekolahkan anak tahun hadapan,” katanya.

Rata-rata netizen merasa sebak dengan kisah dua beranak ini dan mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan.